APABILA timbul berita putus cinta anak lelaki bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep, bersama temanitanya selama lima tahun, Felicia Chew, mula kecohlah warganet membicarakan kisah ini dengan tanda tanya bermain di fikiran mereka.
Laman South China Morning Post melaporkan, perdebatan media sosial timbul mengenai dakwaan yang dibuat ibu Felicia, Cik Meilia Lau, bahawa Kaesang, 26 tahun, menghilangkan diri dan bercinta pula dengan bekas pekerjanya di tengah-tengah hubungan dengan Felicia yang dikenali di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Kaesang yang menuntut di Sekolah Anglo-Chinese (Antarabangsa) di Singapura sebelum meraih ijazahnya kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa perniagaan di Indonesia termasuk francais makanan Sang Pisang.
Cik Lau mendakwa beliau memiliki bukti Kaesang sudah melamar anaknya dan membuat perancangan berkahwin menjelang Disember 2020 tetapi langsung "menghilangkan diri" dan mengabaikan segala usaha pihak Cik Lau menghubunginya.
Dalam satu kenyataan pada Mac pula, Kaesang menjelaskan kepada Felicia pada Januari bahawa hubungan mereka sudah putus tetapi wanita itu dikatakan bertindak dingin.
Laman South China Morning Post melaporkan tidak pernah sebelum ini kehidupan seorang anggota keluarga Presiden dikupas secara terperinci orang awam. Perhatian pada kisah Kaesang ini dikatakan timbul kerana beliau orang Jawa beragama Islam sedangkan Felicia berbangsa Cina dan menganut agama Kristian.
Apa yang difahamkan, Presiden Jokowi tidak menentang hubungan mereka.
Jurulatih kehidupan berusia 46 tahun, Encik Vivid Sambas, yang menulis esei tentang hubungan antara kaum, Love That Tears Down Barriers dalam antologi Narasi Memori Tionghua, berkata:
"Secara peribadi, saya patah hati dengan berita perpisahan Kesang dan Felicia. Saya mengharapkan mereka dapat menjadi simbol masyarakat majmuk - cinta akhirnya menang."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg