
Kit ujian pantas antigen (ART) pertama Covid-19 yang dicipta dan dikilangkan di Singapura telah diluluskan bagi jualan runcit oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di bawah Laluan Akses Khas Pandemik. Syarikat diagnostik dan reagen tempatan, Cellbae, yang menghasilkan kit ujian kendiri itu, berkata ia memutuskan untuk membentuk penyelidikan dan pembuatan di Singapura untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai di sini dan di rantau ini selepas gangguan rantaian bekalan utama yang disebabkan wabak itu. Dipanggil TEP@RT, kit ART itu menyasarkan antigen nukleokapsid virus Sars-CoV-2. Pengarah penyelidikan dan makmal Cellbae, Dr Soh Jun Hui, berkata memandangkan kebanyakan mutasi, seperti varian Delta dan Omicron, berlaku pada 'spike' antigen, pengesanan antigen nukleokapsid adalah penting bagi kit ujian kendiri itu kekal tepat. Beliau berkata sepasang antibodi penangkapan dan pengesan telah dioptimumkan supaya virus itu dapat dikesan dengan sensitiviti tinggi walaupun selepas ia bermutasi. ART yang sangat sensitif akan membolehkan kandungan viral rendah masih dapat dikesan. Penyelidikan kit ujian kendiri itu bermula pada akhir 2021. Dr Nadjad Abdul Rahim, pengarah operasi dan pembangunan produk Cellbae, berkata buat masa ini, syarikat itu boleh mengeluarkan 10,000 kit sehari, yang boleh ditingkatkan sehingga 100,000 kit sehari. Semua penghasilan dilakukan di kemudahan Science Park di Pasir Panjang. Dr Soh dan Dr Nadjad melakukan PhD mereka di bawah penyeliaan Profesor Jackie Y. Ying, pengasas bersama Cellbae. Beliau juga mengetuai Makmal NanoBio di Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star). Syarikat itu berkata harga kit ART itu akan berdaya saing, dan pihaknya sedang berbincang dengan pihak peruncit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg