Satu kit permulaan kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan untuk membantu syarikat memanfaatkan huraian AI bagi tugasan sumber manusia (HR) utama, seperti perancangan tenaga kerja strategik dan pengurusan bakat.

‘AI Starter Kit’ itu, yang dibangunkan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) dan Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), bertujuan memberi syarikat laluan lebih berstruktur untuk memanfaatkan AI secara bermakna.

Kit tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif untuk membantu perniagaan mengamalkan pendekatan AI bersepadu bagi transformasi yang berteraskan kakitangan – iaitu salah satu daripada lima saranan dalam laporan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pembangunan Keupayaan Modal Insan (TWG-HC).

Laporan tersebut telah dikeluarkan pada 24 September, dengan lima saranannya – yang bertujuan menangani trend yang sedang mengubah landskap pekerjaan dan tempat kerja – diterima sepenuhnya oleh pemerintah.

‘AI Starter Kit’ itu akan mengetengahkan huraian AI yang sesuai, dengan panduan pelaksanaan praktikal, khidmat rundingan, latihan, serta sokongan pembiayaan bagi membantu syarikat melaksanakan AI untuk kegunaan HR berimpak tinggi.

Contohnya, dalam perancangan tenaga kerja strategik, syarikat boleh gunakan AI untuk menjangkakan bagaimana pekerjaan dan kemahiran boleh berubah, mengenal pasti jurang dalam tenaga kerja dan menterjemahkan dapatan tersebut kepada tindakan seperti latihan semula kemahiran atau rekaan semula pekerjaan.

Antara lain, IHRP akan bekerjasama dengan rakan latihan untuk memperkenalkan lebih banyak program latihan bertauliah yang sejajar dengan 12 Lencana Kemahiran Kefasihan AI IHRP (IHRP AI Fluency Skills Badges) baharu.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan memperkenalkan satu buku panduan pada suku pertama 2027 yang akan berkongsi bimbingan praktikal, sumber, program dan sokongan untuk membantu karyawan HR dalam perjalanan transformasi.

Ini termasuk dalam menilai kesediaan AI dan mengenal pasti huraian AI yang sesuai, membangunkan kefasihan AI dan merancang perubahan pekerjaan serta tenaga kerja.

Buku panduan itu akan disertakan dengan Perancangan Perubahan Pekerjaan (JTM) bagi Pekerjaan HR yang baharu, yang akan meneliti bagaimana AI dan trend baru yang lain mengubah peranan dan fungsi HR bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.