Kit ujian ART bakal diagih kepada setiap isi rumah
SETIAP isi rumah di Singapura akan menerima enam kit uji sendiri ujian pantas antigen (ART) menerusi pos tidak lama lagi.
Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengagihkan kit ujian itu menerusi SingPost dari hari ini hingga 27 September, sebahagian usaha mengalak pihak awam memain peranan peribadi dalam usaha negara mengekang pandemik ini.
"Dengan Singapura beralih secara berperingkat menjadi negara yang teguh menghadapi Covid-19, masyarakat akan memainkan peranan lebih penting untuk menguruskan pandemik ini," kata MOH dalam kenyataannya.
"Satu aspek penting adalah untuk mengamalkan tanggungjawab peribadi iaitu menguji diri sendiri dan memantau kesihatan diri sendiri."
Dari pertengahan bulan depan pula, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) akan mengagihkan kit ART kepada semua pelajar dan kakitangan di prasekolah yang berdaftar dengan Ecda, tadika MOE, pusat intervensi awal, sekolah rendah dan di peringkat rendah atau junior di sekolah khas.
Ini tidak termasuk pembahagian kit ujian kepada setiap isi rumah.
Setiap pelajar atau anggota staf akan menerima tiga kit ujian.
MOH berkata pengagihan kit ujian ini sebahagian strategi lebih besar untuk mempertingkat usaha pengujian di Singapura, dengan butiran lanjut dijangka dikongsi oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi Covid-19 (MTF) pada minggu depan.
"Sedang kita menjadi negara yang ramai penduduknya telah divaksin, kita perlu beralih tumpuan kepada pengujian dan pengawasan, termasuk menguji diri sendiri, sebagai cara berkesan untuk mengawal pandemik secara proaktif," kata MOH.
Senarai kit ujian ART dan cara menggunakan kit tersebut disediakan di go.gov.sg/selftestART.
MOH berkata sehingga kelmarin, 79 peratus penduduk Singapura telah menerima vaksin sepenuhnya.
Menambah, ia berkata Singapura dijangka dapat mencapai sasaran memvaksin 80 peratus penduduk pada akhir Ogos.
Bilangan kes baru dalam masyarakat telah bertambah sejak dua minggu lalu, daripada purata 47.1 kes kepada 76.0 kes pada minggu lalu.
Namun, 98.9 peratus kes pada minggu lalu tidak menunjukkan simptom atau menunjukkan simptom ringan.
"MTF sedang mengawasi keadaan dengan teliti untuk memastikan bilangan kes yang mengalami simptom teruk terus terkawal dan tidak memberi tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan kita," kata MOH.
Dalam pada itu, MOH berkata empat daripada 37 pusat vaksinasi akan ditutup, kerana bilangan vaksinasi yang dijalankan telah berkurangan sehingga kurang sesuku, berbanding yang dilakukan semasa tempoh puncak.
Sebaliknya, operasi vaksinasi akan dialihkan untuk menyokong lebih banyak Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC), serta pasukan vaksinasi bergerak dan di rumah bagi warga emas.

