Kit ujian virus imunodefisiensi manusia (HIV) kendiri boleh dibeli di farmasi Guardian dan Watsons tertentu di sini menjelang akhir Januari 2025.
Ini merupakan sebahagian usaha Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menggalak ujian HIV dalam masyarakat.
Dengan memperkenal kit sedemikian, orang ramai juga boleh mendapatkan ujian HIV dengan lebih mudah serta ada pilihan untuk melakukan ujian itu secara privasi di rumah mereka sendiri tanpa bimbang stigmanya, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan), Dr Janil Puthucheary, pada 30 November.
“Daya usaha ini lebih daripada menambah satu lagi kaedah ujian dalam usaha kita memerangi HIV.
“Ia juga memperkasa individu untuk bertanggungjawab ke atas kesihatan mereka sendiri dan menekankan bahawa pengesanan awal adalah penting dalam usaha memulakan rawatan,” kata Dr Janil.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Sidang Aids Singapura ke-14 anjuran badan bukan pemerintah (NGO) Action for Aids Singapore (AfA Singapore), lapor The Straits Times.
Terdapat 209 kes jangkitan HIV baru yang dilaporkan di kalangan penduduk Singapura pada 2023.
Jumlah keseluruhan penduduk Singapura yang dijangkiti HIV adalah 9,540 hingga akhir 2023, dengan 2,457 daripadanya meninggal dunia.
Usaha memperkenal ujian HIV kendiri bermula sebagai program perintis pada 2022 yang diketuai oleh Program HIV Nasional, bersama rakan masyarakat AfA dan klinik Jabatan Kawalan Jangkitan Seksual (DSC).
Dalam proses itu, ujian HIV kendiri didapati selamat, berkesan dan secara umumnya diterima dalam kalangan orang ramai, ujar Dr Janil.
Kit ujian HIV kendiri OraQuick juga boleh dibeli di laman web Farmasi Pusat Kulit Nasional pada harga $21.85.
Kit itu mempunyai swab oral untuk mengesan antibodi semula jadi badan, dan keputusan boleh diperolehi selepas sekurang-kurangnya 20 minit.
Dr Janil berkata sasaran 95-95-95 oleh Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penyakit Aids (Unaids) bertujuan mencapai 95 peratus individu dengan HIV mengetahui diagnosis mereka, 95 peratus yang didiagnos menerima rawatan, dan 95 peratus yang dirawat dapat mengawal jumlah virus dalam badan menjelang 2030.
Tambahnya, Singapura juga kian mencapai kemajuan, dengan 85 peratus orang yang menghidapi HIV tahu akan diagnosis mereka, 94 peratus daripada mereka yang didiagnos mendapatkan rawatan dan 93 peratus daripada mereka yang dirawat dapat mengawal jumlah virus dalam badan.
Dr Janil turut menekankan pentingnya memberi sokongan dan langkah susulan untuk membimbing individu yang menggunakan kit ini tentang langkah seterusnya, terutamanya jika keputusan ujian mereka adalah positif.
Antara lain, rakan kerja masyarakat boleh membantu individu ini mengesahkan status mereka, mendapatkan rawatan atau memberi sokongan emosi, ujarnya.
“Saya ingin menekankan bahawa ujian kendiri merupakan kaedah tambahan dan bukan bertujuan menggantikan usaha ujian HIV yang lebih meluas.
“Lawatan ke klinik atau menyertai program ujian dalam masyarakat harus terus menjadi kaedah pilihan dan ini akan terus disediakan,” kata Dr Janil.
Tambahnya, pemerintah akan bekerjasama rapat dengan rakan masyarakat untuk memastikan kit ini digunakan dengan berkesan.
Menerusi satu kenyataan pada 30 November, MOH berkata keputusan ujian diagnostik pantas seperti kit ujian HIV kendiri tidak mencukupi untuk membuat diagnosis jangkitan HIV.
Individu yang diuji positif harus menjalani ujian pengesahan lanjut daripada penyedia khidmat penjagaan kesihatan dan mendapatkan rujukan bagi rawatan.
Mereka yang ingin bercakap dengan seseorang mengenai HIV, atau memerlukan maklumat atau kaunseling berkaitan kesihatan seksual, dinasihatkan untuk menghubungi Klinik DSC di talian 1800-252-1324 atau AfA di 6254-0212.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg