Topik diikuti
Pergi ke BHkuKlinik undang-undang percuma Jamiyah rai jubli emas
Klinik undang-undang percuma Jamiyah rai jubli emas
Para peguam sukarelawan, rakan strategik dan penyokong yang telah memastikan klinik undang-undang percuma Jamiyah Singapura terus beroperasi selama lima dekad telah diberi penghormatan sempena sambutan Jubli Emas klinik itu pada 10 Oktober.
Majlis yang diadakan di Hotel Furama RiverFront itu dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong selaku tetamu terhormat.
Seramai 400 tetamu telah menyerikan acara tersebut, termasuk anggota kor diplomatik, wakil pertubuhan agama dan masyarakat, penderma, rakan kerjasama serta golongan karyawan undang-undang.
Memandang ke hadapan, sesi klinik undang-undang percuma pada setiap Sabtu akan diadakan secara bergilir di pusat khidmat masyarakat ‘Jampacked’ di Bukit Batok, West Coast, Radin Mas dan Pusat Islam Jamiyah.
Sesi dalam talian pula akan diadakan setiap Rabu, kata Jamiyah Singapura dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Oktober.
Program pendidikan undang-undang dan kegiatan kemasyarakatan selama 12 bulan turut dirancang, termasuk ceramah guaman percuma serta penerbitan podcast dan video YouTube dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil mengenai masalah undang-undang yang sering dihadapi dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, Institut Pendidikan Guaman Singapura (Sile) telah meluluskan klinik undang-undang Jamiyah Singapura sebagai program kerja pro bono yang diiktiraf.
Ini membolehkan pelajar undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang menjadi sukarelawan di klinik itu mengira masa khidmat mereka sebagai sebahagian daripada 20 jam kerja pro bono yang diwajibkan.
Para peguam sukarelawan juga akan mengadakan sesi perkongsian maklumat untuk pelajar sekolah menengah serta golongan dewasa yang mempertimbangkan peralihan kerjaya ke bidang undang-undang.