LEBIH 2,600 orang akan menyertai segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Mereka akan antara lain membentuk 33 kontinjen perbarisan, koir gabungan sekolah-sekolah dan tatu ketenteraan gabungan.

Ini merupakan kali pertama koir gabungan sekolah-sekolah ditampilkan dalam NDP sejak lima tahun lalu.

Tatu ketenteraan gabungan kali ini juga akan disertai jumlah peserta paling ramai di Platform Terapung Marina Bay sejauh ini, iaitu sekitar 560 peserta, dengan penyertaan pancaragam sekolah dan skuad perbarisan jitu Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

Sempena ulang tahun Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang ke-50 tahun ini juga, orang ramai boleh menjangkakan pertunjukan udara menarik yang menampilkan jet pejuang dan helikopter yang membelah langit.