Calon Pilihan Raya Presiden, Encik Ng Kok Song, menyifatkan tindakan pesaingnya, Encik Tan Kin Lian, untuk membawa calon yang pernah bertanding dengannya semasa Pilihan Raya Presiden 2011 – Dr Tan Cheng Bock dan Encik Tan Jee Say – sebagai penyokong sebagai suatu yang “sangat tidak sihat dan membimbangkan”.
Encik Ng turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu usaha untuk “cuba mengelirukan warga Singapura”.
Bercakap dengan media semasa lawatannya ke Chinatown Complex pada Ahad, Encik Ng, 75 tahun, berkata:
“Beberapa pemimpin daripada beberapa parti pembangkang bersepakat untuk menyokong Encik Tan Kin Lian... ini merupakan satu perkembangan yang sangat tidak sihat dan membimbangkan dalam Pilihan Raya Presiden kali ini.
“Individu yang terlibat hanya mengelirukan warga Singapura, (mereka) keliru antara Pilihan Raya Presiden dengan Pilihan Raya Umum.
“Pilihan Raya Presiden bertujuan menyatukan warga Singapura, Presiden Dipilih sepatutnya menjadi kuasa penyatuan untuk menyatukan warga Singapura,” ujar Encik Ng.
Encik Ng memberi komen tersebut berikutan pengumuman Encik Tan Kin Lian pada Ahad pagi bahawa Dr Tan Cheng Bock yang merupakan pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah tampil melahirkan sokongannya secara rasmi buat beliau.
Selain Dr Tan Cheng Bock, Encik Tan Jee Say yang pernah menyertai Parti Demokratik Singapura (SDP) dan kemudian menubuhkan Parti Singaporeans First (SingFirst atau Warga Diutamakan) juga telah mengumumkan sokongannya sebelum ini dan merupakan pencadang bagi kempen Encik Tan Kin Lian.
Encik Ng menambah bahawa apa yang telah berlaku ialah “polarisasi” dan sikap “tidak menghormati jawatan Presiden Dipilih”.
“Jika parti politik ini mahu mempolitikkan pilihan raya, masa untuk melakukannya ialah dua tahun akan datang apabila kita mengadakan Pilihan Raya Umum, tetapi ini merupakan Pilihan Raya Presiden, jadi ini bukan masanya,” kata beliau.
Mujur, tidak semua parti pembangkang terlibat dalam polarisasi ini, katanya.
“Saya gesa warga Singapura supaya tidak keliru antara Pilihan Raya Presiden dengan Pilihan Raya Umum,” tambahnya.
Sebelum lawatannya ke Chinatown, Encik Ng telah berkunjung ke Pasar Bulat di Tampines pada Ahad pagi.
Beliau menekankan kedudukannya sebagai satu-satunya calon yang tidak berpihak.
“Encik Tharman (Shanmugaratnam), beliau merupakan calon yang disokong oleh pemerintah, oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan Encik Tan Kin Lian, beliau merupakan calon yang disokong dan diperakui beberapa parti pembangkang.
“Jadi, mereka bukan tidak berpihak. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik... saya tidak disokong mana-mana parti politik,” ujar Encik Ng.
Tambahnya, antara sebab mengapa terdapat sesetengah individu yang sangat berkebolehan namun enggan tampil ke hadapan ialah kerana mereka merasakan bahawa apabila mereka tidak disokong parti pemerintah atau parti pembangkang, mereka tiada peluang sama sekali.
“Jadi saya telah ke hadapan meskipun saya dianggap ‘underdog’ (bukan pilihan pertama) yang mungkin tiada peluang (untuk menang),” katanya.
Ditanya bagaimana untuk menggalakkan lebih ramai warga Singapura yang berkebolehan tampil ke hadapan, Encik Ng menjawab:
“Saya fikir langkah pertama ialah memilih saya sebagai Presiden untuk menunjukkan bahawa warga Singapura mahu mempunyai Presiden yang tidak berpihak, untuk menunjukkan bahawa meskipun saya tidak disokong dan diperakui mana-mana parti politik, saya juga boleh dipilih.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg