Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kok Song ketengah diri sebagai calon ‘tak berpihak’

Aug 19, 2023 | 5:36 PM
BERAMAH-TAMAH: Bakal calon, usahawan Encik Ng Kok Song (mendudung budak) bergambar dengan pengunjung di pasar dan pusat penjaja Kovan 209 bersama tunangnya, Cik Sybil Lau.
BERAMAH-TAMAH: Bakal calon, usahawan Encik Ng Kok Song (mendudung budak) bergambar dengan pengunjung di pasar dan pusat penjaja Kovan 209 bersama tunangnya, Cik Sybil Lau. - Foto ST

Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, berkata pesaing terbesar baginya dalam pilihan raya presiden ialah mantan menteri kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Encik Ng juga menyangkal dakwaan mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income Encik Tan Kin Lian, bahawa beliau bakal calon “bebas” dalam pertandingan ini.

Encik Ng berkata Encik Tan dan Encik Tharman pernah menjadi anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), sebaliknya beliau langsung tidak mempunyai latar belakang sebagai ahli politik.

Bercakap kepada media semasa lawatannya ke pasar dan pusat penjaja Kovan 209, Encik Ng juga menyifatkan Encik Tharman sebagai calon yang disokong pemerintah.

Hal ini diutarakan usahawan berusia 75 tahun itu kerana beliau berasa antara peranan penting presiden ialah memikul taggungjawab sebagai “juruaudit dalaman dan luaran” perkhidmatan awam dan rizab negara.

“Saya tidak pernah menjadi ahli PAP, dan saya kira itu suatu perbezaan penting (antara saya dengan bakal calon lain) apabila kita bercakap tentang melindungi rizab negara kita,” katanya.

Beliau berkata rizab negara merupakan isu penting baginya sebab beliau berpengalaman selama “45 tahun dalam Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan GIC untuk membangunkannya”.

“Apabila kita bercakap tentang melindungi ketelusan perkhidmatan awam, kita perlu ada juruaudit dalaman dan luaran,” tambahnya.

“Juruaudit dalaman boleh dikatakan ‘kita periksa diri sendiri’, itu tidak bermasalah, tetapi juga boleh mendatangkan mudarat. Jadi anda perlukan juruaudit dari luar yang merupakan seorang individu yang tidak pernah menyertai PAP.”

Lawatan Encik Ng ke Kovan adalah lawatan pertamanya selepas beliau memperoleh Sijil Kelayakan pada Jumaat.

Proses selanjutnya ialah penamaan calon pada 22 Ogos. Jika hanya ada seorang calon pada hari itu, calon berkenaan akan diisytihar sebagai Presiden baru Singapura. Jika ada lebih daripada seorang calon, pengundi akan mengundi Presiden baru pada 1 September.

Encik Ng berkata kempennya, yang mempunyai slogan ‘Bersatu Demi Masa Depan Kita’, akan ditumpukan pada warga muda dan beliau kerap menggunakan media sosial untuk mendekati mereka.

Beliau menekankan lagi bahawa beliau calon yang benar-benar “bebas” dan tidak berpihak pada sebarang ahli politik.

“Saya berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyatupadukan rakyat Singapura,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana beliau setanding dengan Encik Tharman, Encik Ng berkata: “Encik Tharman merupakan saingan besar. Persis David dan Goliath (Nabi Daud dan Jalut).”

“Jika boleh, saya berharap rakyat Singapura akan sokong David,” tambah beliau, sambil menyifatkan dirinya sebagai David, yang dalam kisah itu akhirnya berjaya menewaskan pahlawan yang jauh lebih kuat daripadanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg