Daripada siapa yang mempunyai kepakaran paling luas untuk menjadi Presiden, kepada bagaimana mereka akan menyatukan negara, tiga calon Presiden yang akan bertanding di Pilihan Raya Presiden pada 1 September bergilir-gilir menjawab sembilan soalan yang diajukan di Forum Presiden 2023 pada Isnin malam.
Forum selama sekitar sejam itu disiarkan secara langsung di saluran CNA.
Salah satu soalan yang dibangkitkan di forum itu adalah berhubung rancangan setiap calon memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa mereka tidak mempolitikkan Pilihan Raya Presiden, memandangkan masing-masing pernah terlibat dalam perkhidmatan awam, parti pemerintah atau pembangkang.
Mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, 75 tahun, berkata beliau tidak ingin berpolitik, malah ingin menumpukan perhatiannya kepada memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Saya fikir kita harus memberikan tumpuan kepada masalah dan menggunakan segala sumber dan pengetahuan yang ada untuk melihat apakah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.
“Rakyat memang mempunyai banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan sejak beberapa dekad lalu, seperti kadar kelahiran yang rendah dan kehidupan kita yang semakin sukar. Ini adalah perkara yang sangat penting untuk diselesaikan. Dan kita tidak sepatutnya berpolitik,” kata Encik Tan.
Apabila tiba gilirannya untuk menjawab, mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, 75 tahun, mengulangi mesej kempennya bahawa beliau bertanding sebagai seorang calon yang bukan berpihak dengan mana-mana parti politik.
“Saya bukan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP). Saya bukan anggota mana-mana parti pembangkang. Jadi tidak ada perlindungan yang lebih baik untuk mengadakan Pilihan Raya Presiden yang tidak dipolitikkan untuk mempunyai calon yang tidak mempunyai sebarang pertalian politik,” kata Encik Ng.
Mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, menggesa rakyat “agar mengelakkan label yang mudah”, sesuatu yang kerap beliau tekankan sepanjang kempennya.
“Ini adalah pertandingan antara individu... perwatakan mereka perlu dinilai, sama ada mereka mempunyai tulang belakang, sama ada mereka mempunyai rekod prestasi, sama ada mereka dapat menjaga kepercayaan rakyat yang mengundi mereka.
“Jika kita dengan sewenang-wenangnya memberikan label, sama ada anda pernah menjadi anggota parti politik atau tidak, saya fikir itu tidak sesuai,” kata Encik Tharman.
Semasa forum itu, ketiga-tiga calon juga ditanya tentang pertimbangan yang akan mereka lakukan sebelum menggunakan kunci kedua rizab negara, bagaimana mereka merancang untuk terus mendekati warga muda Singapura, dan bagaimana mereka ingin membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.
Di penghujung forum, semasa segmen di mana setiap calon memberikan kata penutup buat pengundi, hos rancangan Cik Otelli Edwards terpaksa mencelah dan mengingatkan penonton tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh Presiden yang dipilih.
“Presiden tidak boleh menyatakan pandangan umum mengenai perundangan atau dasar pemerintah tanpa dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh pemerintah,” kata Cik Edwards.
Semasa ucapan penutupnya, Encik Tan telah berkata anak muda Singapura menghadapi banyak cabaran seperti kos sara hidup yang tinggi, kos perumahan yang tidak mampu dimiliki dan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dengan warga asing.
Justeru, beliau berkata dirinya akan “menyampaikan (keluhan itu) kepada pemerintah supaya orang muda boleh melihat ke hadapan dengan penuh keyakinan”.
Encik Ng menyeru rakyat Singapura untuk meneliti motif beliau melangkah ke hadapan untuk menjadi Presiden, yang beliau sifatkan sebagai “sudah sedia berkorban” untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Saya tidak terdorong oleh keinginan untuk wang, kuasa, atau nama. Saya benar-benar mahu berkhidmat untuk negara saya kerana saya sangat mengambil berat tentang masa depan dan kesejahteraan kita. Saya sanggup berkorban supaya apa yang telah kita bina dapat dijaga,” kata Encik Ng.
Encik Tharman, dalam ucapan penutupnya, memberi jaminan kepada pengundi bahawa rakyat Singapura tidak akan mendapat “sebarang kejutan” daripadanya kerana “hidupnya adalah buku terbuka” selepas berkhidmat kepada Singapura dan di dalam perkhidmatan awam sepanjang seluruh hidupnya.
“Izinkan saya meminta setiap warga Singapura, dengan hormatnya, untuk mengundi saya pada Jumaat. Sebagai undian untuk masa depan yang optimistik. Masa depan di mana minat anda, anak-anak anda dan cucu-cucu anda, masa depan di mana semua rakyat Singapura boleh mempunyai masa depan yang optimis,” kata Encik Tharman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg