Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, 75 tahun, telah mengumumkan senarai nama-nama pencadang, penyokong dan lapan penyetuju bagi pencalonannya untuk Pilihan Raya Presiden akan datang.
Antara nama-nama terkemuka termasuk penggiat dan pemimpin masyarakat seperti Encik Mohamed Salleh Marican, Encik Ameerali Abdeali, dan Encik Abdul Hamid Abdullah, yang disenaraikan sebagai penyetuju.
Encik Salleh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties Ltd, sebelum ini pernah menampilkan dirinya sebagai calon bagi Pilihan Raya Presiden 2017, tetapi telah gagal mendapat Sijil Kelayakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) dalam pilihan raya yang diperuntuk bagi masyarakat Melayu.
Meskipun tidak berjaya, beliau kini memberi sokongan penuh kepada Encik Ng, yang beliau melihat sebagai “seorang Presiden yang benar-benar bebas”.
“Saya percaya Kok Song mempunyai banyak kualiti yang baik. Beliau adalah seorang intelek, mempunyai azam yang kuat untuk berjaya dalam kehidupannya dan ternyata beliau telah berjaya.
“Beliau adalah kisah impian Singapura. Beliau telah melalui banyak kemelesetan ekonomi negara pada masa lalu dan mempunyai pengalaman mengurus ratusan bilion dolar rizab kita,” kata Encik Salleh dalam satu video yang dimuat naik di laman web Encik Ng.
Encik Ameerali pula merupakan seorang pemimpin masyarakat mapan yang telah berkhidmat di beberapa badan bukan meraih untung di Singapura. Ini termasuk sebagai setiausaha di Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan Presiden Kehormat Majlis Keselamatan Nasional Singapura.
Mantan pengarah audit Pejabat Juruaudit Negara (AGO) Encik Abdul Hamid, yang pernah menyandang jawatan Pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), juga merupakan tokoh pemimpin masyarakat terkemuka di kalangan beberapa badan Melayu/Islam (MMO) Singapura termasuk Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dana Amanah TAA dan Darul Arqam.
Encik Ng telah menamakan Encik Quah Wee Ghee sebagai pencadangnya. Encik Quah merupakan pengasas bersama Avanda Investment Management – syarikat pelaburan dengan Encik Ng memegang jawatan sebagai pengerusi dan rakan pengasas. Selain itu, Pakar Geriatrik dan Pengarah Perubatan The Good Life Medical Center, Dr Carol Tan, telah dinamakan sebagai penyokong Encik Ng Kok Song.
Senarai nama-nama lain yang diumumkan termasuk Encik Ho Tian Yee, Pengerusi Fullerton Fund Management; Encik Chua Cher Choon, mantan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Monfort; Cik Margaret Chan, Gabenor Emeritus Yayasan Lien; Encik Hans Tjio, Profesor Undang-Undang CJ Koh di Universiti Nasional Singapura (NUS); dan Cik Angelene Chan, Pengerusi DP Architects.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg