Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolam air bawah tanah pertama di estet perumahan bekal air penduduk Bidadari

Kolam air harian bawah tanah Bidadari pertingkat bekalan air pada waktu sibuk agar 8,800 rumah nikmati tekanan air yang baik
Jun 19, 2024 | 2:19 PM
Hanya stesen pam air di permukaan tanah ini yang  membayangkan adanya kolam air harian bawah tanah di Taman Bidadari untuk membekalkan air kepada penduduk sekitarnya.
Hanya stesen pam air di permukaan tanah ini yang membayangkan adanya kolam air harian bawah tanah di Taman Bidadari untuk membekalkan air kepada penduduk sekitarnya. - Foto ST

Di bawah sebuah padang di Taman Bidadari, pada kedalaman kira-kira dua aras tempat letak kereta bawah tanah, terdapat sebuah kolam air bawah tanah yang akan membekalkan air ke kawasan kejiranan baru itu mulai suku ketiga 2024.

Menampung air sudah dirawat untuk diminum sebanyak tiga kolam renang saiz Olimpik, kolam air harian bawah tanah (USR) Bidadari itu dibina dengan kos $27 juta.

Kolam air harian yang pertama seumpama itu di taman perumahan, ia akan meningkatkan bekalan air utama kepada kira-kira 8,800 rumah di estet itu pada waktu sibuk untuk memastikan pengguna menikmati tekanan air yang baik.

Seperti lebih 10 kolam air harian yang lain di Singapura, ia juga berfungsi sebagai sandaran semasa kecemasan atau gangguan kepada bekalan air utama PUB.

Kolam air harian tidak sama dengan kolam air tadahan seperti MacRitchie dan Bedok, yang merupakan antara 17 kolam air takungan di serata pulau ini untuk mengumpul air hujan yang kemudiannya dirawat.

USR Bidadari, yang dibina oleh agensi air negara PUB di tapak bekas Mount Vernon Columbarium, mempunyai dua tangki bawah tanah besar – setiap satu kira-kira 6.5 meter tinggi – untuk menjimatkan ruang permukaan dan memastikan persekitaran tidak tercemar.

Hanya sebuah stesen pam di permukaan tanah, di sebidang tanah seluas 700 meter persegi, membayangkan kewujudannya.

USR direka bentuk agar sebahagian besar operasinya tidak perlu dikendalikan oleh tenaga manusia, dengan sebuah bilik kawalan automatik dan lima pam yang dikendalikan secara berpusat.

Pada luar waktu sibuk, apabila permintaan air isi rumah tidak tinggi, kedua-dua tangki itu akan diisi dengan air boleh diminum dari kolam air harian sedia ada, seperti Kolam Air Harian Bukit Kalang.

Kolam air harian lain terletak di tanah tinggi seperti Fort Canning – dibina pada 1929, ia satu-satunya USR di sini – dan Mount Faber, untuk memanfaatkan graviti bagi menyalurkan air ke rumah dan pejabat.

USR Bidadari sedang menjalani pentauliahan dan ujian, dan dijangka beroperasi mulai suku ketiga 2024.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan mengenai siapnya USR Bidadari pada 19 Jun di perasmian bersama persidangan dwitahunan ‘Minggu Air Antarabangsa Singapura’ dan ‘Sidang Puncak CleanEnviro Singapura’.

“Ia akan membantu mengukuhkan bekalan air untuk memenuhi permintaan air penduduk Bidadari sekarang dan akan datang,” katanya di majlis di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands itu.

Estet Bidadari akan mempunyai kira-kira 10,000 rumah, terdiri daripada perumahan awam dan privet.

Sehingga Februari, lebih 70 peratus daripada 8,872 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di situ telah diserahkan kepada pemiliknya, manakala flat selebihnya dijangka siap menjelang 2025.

Konsep mempunyai kolam air yang mengoptimumkan penggunaan tanah dan disepadukan dengan taman di estet perumahan itu diumumkan pada 2013.

“Pendekatan ini membolehkan PUB menjimatkan kira-kira 1,500 meter persegi ruang dengan menyepadukan tanah di atas tangki air itu dengan Taman Bidadari di sebelahnya,” kata agensi itu.

Pembinaan USR itu bermula pada 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg