Komander Divisyen Kesembilan Singapura dan Ketua Infantri, Kolonel (COL) Fairoz Hassan, akan dinaikkan pangkat menjadi Brigedier-Jeneral (BG) dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 Julai.
Kolonel Fairoz merupakan Brigedier-Jeneral Melayu kedua setelah mantan Brigedier-Jeneral Ishak Ismail yang bersara pada 2011.
Sebelumnya, Kolonel Fairoz dinaikkan pangkat daripada Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) kepada Kolonel pada 2019.
Kenaikan pangkatnya sebagai Komander Divisyen Kesembilan Singapura dan Ketua Infantri berlangsung pada September 2024, menggantikan Brigadier Jeneral (BG) Wong Shi Ming.
Dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH) pada 27 Jun, Kolonel Fairoz berkongsi kegembiraannya atas pangkat yang bakal disandangnya.
“Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas ini dengan sebaik mungkin,” jelas beliau.
Beliau antara sekitar 1,200 anggota SAF yang menerima sijil semasa Majlis Kenaikan Pangkat Kementerian Pertahanan (Mindef)/SAF yang berlangsung pada 26 dan 27 Jun di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru, Hillview Link.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg