Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komplikasi Covid-19 jejas kanak-kanak jarang berlaku: Pakar

Jul 22, 2022 | 4:46 PM
BOLEH ATASI COVID-19: Pakar perubatan keluarga, Klinik Banyan@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai masalah mengatasi penyakit itu, namun sekitar lima peratus kanak-kanak mengalami radang paru-paru dan kurang satu peratus daripada golongan itu mengalami radang paru-paru yang serius.
BOLEH ATASI COVID-19: Pakar perubatan keluarga, Klinik Banyan@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai masalah mengatasi penyakit itu, namun sekitar lima peratus kanak-kanak mengalami radang paru-paru dan kurang satu peratus daripada golongan itu mengalami radang paru-paru yang serius. - Foto: Ihsan Dr Zuraimi Dahlan

DENGAN subvarian Omicron yang mudah berjangkit menjejas lebih ramai orang termasuk kanak-kanak, akan terdapat peningkatan setara dalam bilangan kanak-kanak yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Bagaimanapun, komplikasi di kalangan kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak jarang berlaku.

Tetapi ibu bapa dinasihatkan agar terus mengamalkan sikap berjaga-jaga dengan menggalak anak mereka memakai pelitup, duduk di rumah atau berjumpa doktor jika tidak sihat, serta mengamalkan langkah pengurusan selamat.

Demikian pandangan beberapa doktor dan pakar penyakit berjangkit kanak-kanak yang dihubungi Berita Harian baru-baru ini menyusuli kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun Ahad lalu ekoran Covid-19. Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), budak perempuan itu meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Ia kematian kedua dalam masa kurang sebulan melibatkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun. Pada 27 Jun lalu, seorang budak lelaki berusia 18 bulan meninggal dunia selepas mengalami komplikasi akibat Covid-19.

Perunding Kanan, Perkhidmatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Paediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Madya Thoon Koh Cheng, berkata kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan simptom biasa yang serupa dengan pesakit dewasa, termasuk demam, simptom jangkitan saluran pernafasan seperti batuk atau selesema, muntah, cirit-birit, sakit tekak, hilang deria bau, sakit otot dan kelesuan. Pesakit juga mungkin tidak menunjukkan simptom.

"Komplikasi dalam kalangan kes Covid-19 paediatrik jarang berlaku. Beberapa contoh termasuk radang paru-paru, miokarditis (keradangan otot jantung) dan keradangan otak dan tulang belakang," katanya.

Menurut pakar perubatan keluarga, Klinik Banyan@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai masalah mengatasi penyakit itu.

Namun sekitar lima peratus kanak-kanak mengalami radang paru-paru dan kurang satu peratus daripada golongan itu mengalami radang paru-paru yang serius.

"Lebih ramai orang dijangkiti virus ini maka lebih ramai kanak-kanak akan juga dijangkiti dan angka mereka yang mengalami komplikasi akan meningkat.

"Kadang kala perubahan (pada keadaan anak) boleh berlaku dengan cepat dan tidak mudah untuk dipastikan pada peringkat awal. Ini terutuma sekali di kalangan kanak-kanak yang mungkin tidak dapat berkomunikasi dengan jelas," kata Dr Zuraimi.

"Namun, komplikasi seperti ini amat jarang berlaku. Sebahagian besar kanak-kanak hanya mengalami demam, sakit tekak, selesema dan batuk," tambahnya.

Pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam, dari Rophi Clinic di Hospital Mount Elizabeth Novena, menasihatkan ibu bapa agar tidak terlalu risau tentang kemungkinan anak mereka mengalami komplikasi ekoran Covid-19 yang membawa maut kerana ia sangat jarang berlaku.

Tetapi beliau menggalakkan agar ibu bapa agar cuba mengurangkan pendedahan anak-anak kepada virus itu.

"Satu hipotesis untuk penyakit teruk ini ialah lebih banyak virus dipindahkan, semakin teruk penyakit itu. Memakai pelitup dan menjaga jarak sosial akan mengurangkan penyebaran beban virus," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg