Topik diikuti
Pergi ke BHkuKongsi glamor Hari Raya
Kongsi glamor Hari Raya
Baik yang berada di sini, mahupun di perantauan, rakyat Singapura yang beragama Islam menyambut Syawal dengan penuh kemeriahan tahun ini. Tanpa sebarang sekatan Covid-19, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini bagi para pembaca Berita Harian (BH) amat istimewa. BH paparkan beberapa kiriman dan gambar yang dikongsikan oleh pembaca akhbar ini.
Kongsi glamor Hari Raya
RIUH RAYA: Empat generasi keluarga besar Hajah Ewah Abdul Kadir berkumpul di rumahnya pada pagi Hari Raya Aidilfitri (22 April).
Sudah menjadi tradisi bagi keluarga tersebut berkumpul di rumah moyang 16 cicit, 18 cucu dan lapan anak itu setiap hari pertama Raya.
Mereka bersepakat mengenakan baju berwarna hijau tahun ini.
JALIN IKATAN MESRA: Tahun ini merupakan tahun kelima Encik Azmi Abdul Rahman dan isteri Cik Farahdillah Mohd Isa serta kedua anak kecil mereka tidak pulang ke Singapura.
Namun perayaan di Dubai tetap meriah bagi mereka kerana masih terdapat semangat kunjung-mengunjungi di kalangan masyarakat Melayu/Islam di sana.
Tahun ini juga cukup istimewa bagi Encik Azmi dan keluarga kerana ia adalah kali pertama mereka mengadakan rumah terbuka.
Antara tetamu yang dijemput termasuk keluarga Melayu yang menetap di sana serta rakan-rakan mereka yang berbangsa lain. Walaupun berjauhan dengan 14 keluarga tercinta di Singapura, mereka masih dapat merasakan semangat kemasyarakatan yang segar di Dubai sekali gus mengurangkan rasa rindu kami.
KELUARGA PERANTAUAN: Penduduk tetap di Perth, Australia Barat, Cik Norain Razali, yang telah menetap di sana sepanjang 12 tahun sempat berkunjung ke rumah keluarga Melayu/Islam di sana pada Hari Raya pertama.
Walaupun berjauhan dari keluarga, Cik Norain yang merindukan suasana Raya di Singapura, berasa gembira kerana masih mampu merasakan kemeriahan menyambut Syawal bersama-sama masyarakat Melayu/Islam di sana, yang turut dianggapnya sebagai keluarga.
RINDU KECOH RAYA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini terasa lengkap buat Cik Nora Nordin sekeluarga. Ini adalah kali pertama sejak Covid-19 melanda mereka dapat berkumpul beramai-ramai sebagai satu kumpulan besar di rumahnya, tanpa merisaukan tentang had bilangan tetamu.
Ia juga satu kenangan yang indah buat keluarganya, terutama ibu beliau, kerana akhirnya tahun ini dapat meraikan Syawal bersama adik-beradik ibunya dari luar negara yang membuat perjalanan jauh berkunjung keluarga di Singapura.
Suasana Raya pertama di rumah Cik Nora cukup meriah dengan kehadiran keluarga tercinta.
