Kongsi pengalaman lalui pengasingan di rumah, perlunya sikap proaktif
Kongsi pengalaman lalui pengasingan di rumah, perlunya sikap proaktif
Kongsi pengalaman lalui pengasingan di rumah, perlunya sikap proaktif

PENGASINGAN di rumah bukannya mudah bagi Encik Shakir Juhaidi, yang telah pulih daripada virus Covid-19 awal tahun ini.
Cabaran terbesar semasa pengasingan yang dihadapi pemuda 27 tahun itu, adalah perpisahan antara beliau dan keluarganya.
Antara ahli keluarganya, beliau seorang telah dikesan positif serta menjalani pengasingan di rumah.
"Sebagai pembawa virus, saya amat bimbang atas keselamatan ahli keluarga saya. Kerana terdapat banyak ruang di rumah yang dikongsi, seperti tandas, usaha tambahan harus dilakukan oleh saya sekeluarga dalam membasmi kuman dan mengambil langkah tambahan berjaga-jaga", kata pemuda itu, yang telah divaksin sepenuhnya ketika dijangkiti.
Encik Shakir, seorang pemeriksa kawalan kualiti, mula mengalami simptom ringan seperti selesema dan batuk di tempat kerjanya sehari sebelum beliau ke klinik berdekatan untuk diperiksa bagi ujian rantaian polymerase (PCR).
Beliau terasa sangat lesu dan gelisah pada malam sebelumnya, tetapi tidak mengendahkan perasaan itu kerana menyangka ia cuma akibat kurang tidur.
Malangnya, ujian PCR kembali positif pada hari berikutnya, dan beliau memulakan pengasingan di rumah selama 10 hari.
"Tiga hari pertama adalah yang paling sukar. Simptom saya berada di kemuncaknya, tetapi perkara yang membuatkan saya terus bersemangat ialah panggilan video harian keluarga.
"Saya sangat bersyukur atas kesabaran dan sokongan keluarga yang prihatin dalam menjaga saya pada masa pengasingan," tambahnya lagi.
Hingga kini, Encik Shakir masih tidak pasti bagaimana beliau dijangkiti. Dua kemungkinan ialah beliau dijangkiti semasa perjalanannya ke kerja melalui kenderaan awam, ataupun di tempat kerjanya, yang merupakan kelompok aktif pada masa itu.
Encik Shakir menyatakan bahawa permintaan asalnya untuk ditahan di pusat pengasingan telah ditolak. Bagaimanapun, pihak berkuasa telah berjaya memberikan arahan yang jelas dan terperinci mengenai prosedur pengasingan di rumah.
Walaupun maklum balas dari Kementerian Kesihatan (MOH) agak lewat, Encik Shakir berkata bahawa beliau memahaminya, memandangkan peningkatan kes masyarakat baru-baru ini.
Encik Shakir bersetuju bahawa Langkah Pengurusan Keselamatan (SMM) yang masih berterusan, penting dan diperlukan dalam masyarakat.
"Pemerintah telah mengambil langkah yang cerdas dalam mewujudkan sekatan dan langkah-langkah yang berbeza dalam menangani wabak ini.
"Sebagai rakyat Singapura, kita haruslah memainkan peranan dalam mengambil langkah tambahan berjaga-jaga dan bersikap proaktif dalam memeriksa kesihatan harian kita," nasihat Encik Shakir.\
"Tiga hari pertama adalah yang paling sukar. Simptom saya berada di kemuncaknya, tetapi perkara yang membuatkan saya terus bersemangat ialah panggilan video harian keluarga. Saya sangat bersyukur atas kesabaran dan sokongan keluarga yang prihatin dalam menjaga saya pada masa pengasingan... Sebagai rakyat Singapura, kita haruslah memainkan peranan dalam mengambil langkah tambahan berjaga-jaga dan bersikap proaktif dalam memeriksa kesihatan harian kita." - Encik Shakir Juhaidi, 27 tahun, seorang pemeriksa kawalan kualiti.

