Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert amal ChildAid papar kisah realisasi impian

Pementasan ‘The Dream Emporium’, bakal tampil 83 penghibur berusia lapan hingga 19 tahun melalui lagu, tari dan AI
Nov 25, 2024 | 1:26 PM
Ren Nakao (barisan tengah, dua dari kanan) berlatih bersama penghibur ChildAid yang lain pada 24 November.
Ren Nakao (barisan tengah, dua dari kanan) berlatih bersama penghibur ChildAid yang lain pada 24 November. - Foto ST

Tugas watak Riley adalah untuk merealisasikan impian kanak-kanak – tetapi bukan semuanya.

Namun dengan hanya Riley seorang, siapakah yang menentukan impian daripada kanak-kanak manakah yang akan menjadi kenyataan?

Felix watak dalam pementasan, The Dream Emporium, terkejut apabila dia menyedari bahawa algoritma Riley cenderung memilih impian tertentu berbanding yang lain.

Saksikan bagaimana Felix meneroka impian setiap kanak-kanak dan mempertaruhkan segala-galanya untuk “memperbaiki” Riley melalui lagu, tarian dan teater – serta sedikit kecerdasan buatan (AI) dalam persembahan ChildAid edisi ke-20 ini.

Konsert ChildAid merupakan acara pengumpulan dana amal kanak-kanak tahunan anjuran The Straits Times (ST) dan The Business Times (BT).

Hasil kutipan daripada ChildAid akan disalurkan kepada Dana Wang Saku Sekolah ST (STSPMF) dan Dana Seniman Muda BT (BTBAF).

The Dream Emporium akan dipentaskan di The Esplanade pada 29 dan 30 November, dengan 83 penghibur berusia lapan hingga 19 tahun.

Pertunjukan itu meraikan setiap impian yang menjadi kenyataan, sambil mengiktiraf bahawa tidak semua kanak-kanak diberi peluang yang sama dalam hidup.

“Ia mengiktiraf hakikat bahawa orang boleh bermimpi, tetapi sama ada impian itu menjadi kenyataan atau tidak adalah satu perkara lain,” kata pengarah rancangan, Encik Krish Natarajan, 30 tahun, kepada ST.

“Jika kita sebagai masyarakat memahaminya dan berusaha untuk membantu semua orang mencapai impian mereka, saya fikir kita akan hidup dalam dunia yang lebih baik,” kata Encik Natarajan, yang turut menulis muzikal itu.

Antara 83 penghibur yang terlibat adalah Ren Nakao, yang memegang watak Felix, dan Divyasree Ravichandraraja, yang memegang watak Riley.

Bercakap kepada ST selepas latihan penuh pada 24 November, dua remaja berusia 14 tahun itu berkata mereka tidak sabar untuk membuat persembahan dan telah menikmati pengalaman mereka di ChildAid, walaupun harus mengimbangi latihan berjam-jam dengan kerja sekolah.

Rancangan itu turut menampilkan Nur Anisah Daaniys Mohammad Sufian, 12 tahun, yang cacat penglihatan.

The Dream Emporium menawarkan sesuatu untuk semua orang, daripada peminat penyanyi Taylor Swift kepada peminat kumpulan rok, Guns N’ Roses.

Apabila tirai dilabuhkan, penonton dijemput berkongsi impian mereka untuk generasi seterusnya dan impian mereka menjadi sebahagian daripada satu karya kerjasama AI.

Encik Joshua Quek, pengarah kreatif bersama dan multimedia konsert itu, berkata edisi ChildAid kali ini mewakili “usaha membantu kanak-kanak selama 20 tahun”.

“Itulah sebabnya ia sangat istimewa,” katanya.

Selepas menonton latihan itu, editor ST, Encik Jaime Ho, berkata kemeriahan dan semangat para pelakon dan kru sangat jelas dan menular.

“(Hakikat) bahawa mereka adalah kanak-kanak yang bercakap tentang... impian mereka menjadikan setiap persembahan mereka lebih bermakna.

“Saya tidak sabar untuk menonton pertunjukan ini dan apa yang ia akan capai dalam usaha mengumpul dana untuk tujuan yang bermanfaat,” kata beliau.

Editor BT, Cik Chen Huifen, memberitahu para penghibur itu bahawa beliau sangat berbangga dengan mereka.

“Saya dapat melihat banyak usaha – setiap langkah, setiap nota, setiap saat anda berada di sini di atas pentas. Saya berasa sangat bersemangat.”

ChildAid 2024 – ‘The Dream Emporium’

Tempat: Teater Esplanade, 1 Esplanade Drive

Tarikh: 29 November, 7.30 malam; 30 November, 2 petang (pertunjukan gala) dan 7.30 malam

Bayaran masuk: $28, $38 dan $68, melalui Sistic (layari laman web str.sg/CA24-show atau hubungi 6348-5555). Pemegang kad UOB menikmati diskaun 10 peratus untuk semua kategori.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg