Siri empat konsert eksklusif Lady Gaga di Singapura pada Mei telah menyumbang antara $100 juta dengan $150 juta dalam hasil pelancongan kepada negara ini, menurut pakar industri.
Walaupun jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada $350 juta hingga $500 juta yang dijana oleh konsert Taylor Swift dan Coldplay pada 2024, ia tetap mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi konsert utama di Asia.
Menurut angka yang diterbitkan oleh penerbitan muzik dan hiburan Amerika, Billboard, pada akhir Jun, konsert Gaga di Singapura meraih AS$40.8 juta ($52 juta) hasil daripada penjualan 193,000 tiket, lapor The Straits Times.
Laporan bulanan konsert dengan kutipan tertinggi menunjukkan bahawa Singapura merupakan satu-satunya lokasi di Asia bagi Mayhem Tour, dengan persembahan diadakan di Stadium Nasional pada 18, 19, 21 dan 24 Mei, dan setiap malam meraih purata sekitar $13 juta.
Stadium tersebut boleh memuatkan kira-kira 50,000 orang.
Ini merupakan satu-satunya siri konsert berbayar Lady Gaga pada Mei, memandangkan persembahannya pada 3 Mei di Pantai Copacabana, Brazil, yang dihadiri 2.5 juta orang, diadakan secara percuma.
Pakar ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, berkata hasil pelancongan berkaitan konsert Lady Gaga mungkin berjumlah antara $100 juta dengan $150 juta.
Beliau menekankan bahawa pendapatan $52 juta daripada konsert pada Mei 2025 itu adalah separuh daripada $104 juta yang dijana oleh konsert Swift pada Mac 2024.
Pendapatan konsert merujuk terutamanya kepada penjualan tiket, manakala hasil pelancongan merangkumi perbelanjaan pelawat antarabangsa dalam pelbagai aspek seperti penginapan, makanan dan minuman, membeli-belah dan perkhidmatan lain.
Ketibaan pelawat antarabangsa ke Singapura turut menunjukkan pertambahan sepanjang konsert tersebut, walaupun peningkatan semasa konsert Lady Gaga jauh lebih kecil.
Menurut data Lembaga Pelancongan Singapura (STB), jumlah pelawat yang masuk meningkat 8 peratus tahun ke tahun pada Mei.
Sebaliknya, ketibaan pelawat melonjak 43.5 peratus pada Mac 2024 ketika konsert Swift berlangsung.
“Peningkatan pelancongan yang lebih kecil daripada konsert Gaga berbanding Swift bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan bilangan peminat Gaga yang lebih kecil dan bersifat niche,” kata Encik Lee.
Beliau turut menyatakan bahawa keadaan ekonomi yang tidak menentu mungkin menyumbang kepada permintaan yang perlahan untuk perjalanan dan perbelanjaan besar-besaran.
“Tidak seperti konsert Swift yang habis terjual sepenuhnya, permintaan bagi konsert Gaga lebih sederhana, dengan tiket masih tersedia pada saat akhir dan harga jualan semula yang dipotong,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg