ORANG ramai, khususnya penduduk Tampines, dapat menikmati lagu 1980-an hingga 1990-an sambil mengimbau kenangan lalu dalam sebuah konsert anjuran Our Tampines Hub (OTH) Sabtu ini.
'Konsert Kita: Selamat Datang Kembali ke OTH' itu merupakan satu acara hibrid yang akan diadakan di kawasan Town Square dan ditayangkan secara langsung di Facebook OTH.
Tujuan mengadakan tayangan langsung konsert itu di Facebook ialah memastikan mereka yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 tidak terlepas peluang menyaksikan konsert itu, yang bermula pada 8 malam.
Dihoskan oleh DJ Radio Ria Azura Goh dan Jeff Goh daripada Yes FM, konsert itu juga menampilkan persembahan oleh personaliti dan penyanyi tempatan, seperti Iskandar Ismail.
Menerusi konsert ini, OTH ingin menggalak penduduk yang menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya berhubung kembali sebagai sebuah masyarakat, sambil menggalak mereka yang belum mengambil vaksin itu supaya segera mendapatkannya kerana ini akan membolehkan lebih banyak kegiatan masyarakat dianjurkan di Tampines pada masa depan.
Semua penonton dan peserta yang berada di lokasi perlu mematuhi langkah pengurusan selamat, dengan prosedur SafeEntry dan pemeriksaan suhu badan dijalankan sebelum mereka dibenarkan memasuki kawasan Town Square.
Mereka juga perlu menunjukkan bukti status vaksinasi penuh di bawah program vaksinasi Covid-19 nasional melalui aplikasi mudah alih TraceTogether atau HealthHub, atau keputusan ujian praacara (PET) negatif sah yang diambil dalam tempoh 24 jam.
Selepas dibenarkan masuk, penonton akan dibawa ke tempat duduk tersedia dan mereka perlu kekal di tempat duduk yang ditetapkan sepanjang acara.
Penggunaan pelitup juga diwajibkan pada setiap masa dan sebarang interaksi antara penonton tidak dibenarkan.
Penonton tidak dibenarkan membawa masuk makanan di tempat acara.
Dalam satu kenyataannya, OTH berkata: "Our Tampines Hub tetap fokus dalam mendekati penduduk dan masyarakat menerusi hiburan, maklumat dan kandungan pendidikan merentasi empat tunggaknya: Seni, Sukan, Gaya Hidup dan Masyarakat.
"Sedang Singapura bersedia beralih hidup dengan Covid-19, sudah tiba waktunya juga Our Tampines Hub menggalak penduduk di sekitar kawasan ini mendapatkan vaksinasi mereka."
Tiket konsert itu boleh didapatkan secara percuma di kaunter perkhidmatan pelanggan OTH.
Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Facebook Our Tampines Hub.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg