KONSULTASI awam bagi penilaian kesan sekitaran untuk menentukan kesesuaian perairan yang kaya dengan biodiversiti di selatan Singapura bagi penternakan ikan telah dilanjutkan selama dua minggu.
Ini selepas sebuah notis dikeluarkan dalam e-Gazette pemerintah pada 5 Mei lalu berkata orang awam mempunyai sehingga kelmarin untuk memberikan maklum balas mengenai laporan itu, yang akan membuka laluan bagi Agensi Makanan Singapura (SFA) menubuhkan ladang ikan bersebelahan terumbu karang asli.
Ini adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk menghasilkan 30 peratus keperluan pemakanannya menjelang 2030.
Tapak berpotensi itu terletak di perairan tiga pulau - Pulau Satumu, Pulau Bukom dan Pulau Jong, lapor The Straits Times.
Akuakultur marin yang dilakukan secara berskala adalah antara sektor paling berkesan yang sedia ada bagi protein haiwan, kata laporan itu, yang menyimpulkan bahawa tapak berpotensi tersebut boleh menghasilkan sehingga 22,260 tan ikan setiap tahun dengan "kesan terhad" terhadap mutu air dan sedimen.
Tahun lalu, penghasilan akuakultur tempatan - 4,200 tan ikan - membentuk sekitar 9 peratus daripada pemakanan ikan keseluruhan, menurut SFA.
Namun, ahli biologi dan penyokong pemuliharaan marin berkata usaha membina ladang di tiga pulau itu boleh menjejas ekosistem marin di bahagian selatan, dan, dalam antara beberapa keprihatinan, boleh menarik haiwan pemangsa yang tidak diingini dekat tapak selam rekreasi.
Daripada 110 ladang ikan di laut di Singapura, hanya satu sahaja, kendalian Barramundi Asia, beroperasi dekat kepulauan selatan Singapura.
Menurut laporan ST, SFA berkata ia akan membolehkan laporan itu dibaca orang awam sehingga 15 Jun supaya lebih ramai orang boleh memberi maklum balas.
"Semua maklum balas akan dipertimbang dan ditangani dengan teliti, dan dimasukkan dalam laporan terakhir, di mana relevan," kata agensi itu.
"Kelulusan perancangan ke atas ruang laut yang akan digunakan bagi akuakultur akan diminta, dan rancangan pengurusan dan pemantauan sekitaran akan dilaksanakan sebelum sebarang kerja dimulakan, untuk memastikan kemampanan akuakultur di ruang tersebut, dan mengurangkan potensi kesan terhadap sekitaran," tambahnya.
Menurut notis e-Gazette itu, penilaian kesan sekitaran dijalankan dari September 2020 hingga Oktober tahun lalu sebagai persiapan bagi lebih banyak ruang untuk ladang ternakan ikan disediakan untuk tender mulai hujung tahun ini.
Tapak tersebut telah disenarai pendek untuk kajian kerana ia terletak di luar pelabuhan dan laluan perkapalan sedia ada, kata SFA.
Parameter lain yang dipertimbangkan semasa menyenarai pendek lokasi termasuk aliran arus air dan dekatnya kawasan rekreasi dan kemudahan marin atau perindustrian, tambahnya.
Laporan salinan cetak itu, bagaimanapun, hanya boleh dilihat melalui temu janji selama dua jam di ibu pejabat SFA di Jurong, menyebabkan sesetengah pihak mempersoalkan aksesibilitinya.
Meskipun langkah membuat penilaian kesan sekitaran tersedia secara umum dialu-alukan, kerana ia tidak selalu berlaku, masa yang terhad untuk akses menghalang penilaian mendalam laporan itu yang mengandungi 315 muka surat, kata ahli biologi marin, Dr Zeehan Jaafar.
Menurut laporan yang disediakan perunding sekitaran DHI Water and Environment, perairan berhampiran pulau-pulau yang ditinjau itu adalah rumah kepada flora dan fauna.
Ini seperti kerang gergasi seruling (fluted giant clam) yang terancam di peringkat tempatan, karang biru yang disenaraikan sebagai mudah terjejas di peringkat global dan rumput laut reben licin (smooth ribbon seagrass) yang terancam secara kritikal di peringkat global.
Kemerosotan alam sekitar yang disebabkan penternakan ikan di perairan itu boleh dikurangkan jika ikan diternak dalam sistem tertutup dan bukannya sangkar terbuka, menurut dapatan laporan itu.
Sistem sedemikian akan membawa kepada hasil maksimum yang lebih rendah sebanyak 18,200 tan setiap tahun tetapi mengakibatkan kesan yang minimum atau tidak ada kesan terhadap mutu air dan sedimen, dengan syarat jumlah pengeluaran dihadkan dan langkah-langkah diambil untuk mengurangkan dan menguruskan kesan sekitaran, tambah laporan itu.
Ahli biologi marin dan pakar keselamatan makanan berkata sistem pembendungan tertutup akan menjadi pilihan yang lebih sesuai untuk mengurangkan kesan ke atas sekitaran sekitarnya sekiranya ia tidak dapat dielakkan bagi ladang ditempatkan di perairan selatan.
Timbalan pengarah kemudahan Makmal Marin Nasional Pulau St John, Dr Jani Tanzil, berkata:
"Idea sistem pembendungan tertutup adalah keadaan boleh dikawal dengan lebih baik, mengurangkan ancaman sekitaran luaran dan pembuangan yang tidak diingini ke dalam ekosistem marin, menjadikannya lebih baik demi memastikan kemampanan."
Mengakui bahawa sistem pembendungan tertutup lebih mahal untuk dipasang dan diselenggara, beliau berkata jurang kewangan boleh diatasi dengan keperluan memacu kemajuan teknologi dan menyelaraskan operasi.
Pemanasan lautan yang disebabkan perubahan iklim juga bermakna sistem pembendungan tertutup akan menjadi pilihan yang lebih berdaya tahan berbanding perternakan sangkar terbuka tradisional, kata Profesor Madya Matthew Tan, ketua eksekutif firma kejuruteraan akuakultur Assentoft Aqua Asia.
"Apabila keadaan laut menjadi buruk, amat sukar bagi peternak untuk lari daripadanya dengan sangkar terbuka, oleh itu pembendungan tertutup dan ladang di darat akan kurang terdedah kepada perubahan cuaca yang tidak dijangka," kata beliau.
Sekiranya ladang pembendungan tertutup terlalu mahal, teknologi sensor juga boleh dimanfaatkan untuk membendung pemberian makanan berlebihan dan menguruskan sisa yang dihasilkan ikan di ladang sangkar terbuka, kata Profesor William Chen, pengarah program Sains dan Teknologi Makanan Universiti Teknologi Nanyang.
Namun, laporan itu telah meninggalkan beberapa persoalan tentang sama ada lokasi yang dikenal pasti di dalamnya akan dilindungi secukupnya sekiranya pembangunan berlaku, kata saintis dan penyokong pemuliharaan marin.
Antaranya, tapak ladang yang disarankan di Pulau Jong terletak 41 meter dari tapak menyelam, menurut laporan itu, yang menyatakan bahawa penternakan sangkar terbuka di kawasan itu boleh menarik lagi jerung lembu dan membawa kepada serangan.
Atas sebab ini, Encik Stephen Beng, pengerusi masyarakat Friends of Marine Park, menyarankan agar tapak itu dipindahkan lebih jauh daripada terumbu karang dan kawasan rekreasi.
Encik Beng berkata: "Julat ikan besar seperti jerung adalah luas, sudah pasti lebih daripada 41 meter. Kami tidak boleh memasang pagar atau menggali longkang untuk membuat sempadan di laut seperti yang kami lakukan di darat."
Satu lagi kebimbangan ialah kegagalan untuk memodelkan kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu permukaan laut dan pengasidan, yang boleh memperbesar kesan ladang ternakan ikan yang berpotensi, kata Dr Tanzil.
Beliau menambah bahawa perancangan pemantauan dan pengurusan sekitaran yang menyeluruh di luar sebutan ringkas dalam laporan itu adalah penting.
Kesan kumulatif boleh mengakibatkan keadaan berbahaya bagi kedua-dua ladang ikan dan ekosistem marin seperti bunga alga, kata Dr Tanzil.
"Adalah penting untuk mengakui bahawa "30 menjelang 30" hanyalah sebahagian daripada perjalanan yang lebih panjang ke arah matlamat daya ketahanan makanan jangka panjang Singapura - mencapainya secara mampan akan menjadi penting untuk memastikan penghasilan makanan tempatan dapat dikekalkan melebihi 2030," kata beliau.
Jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata SFA juga akan berunding dengan agensi termasuk Lembaga Taman Negara (NParks) sebelum memuktamadkan laporan itu untuk menilai kesesuaian ruang laut bagi akuakultur, dengan mengambil kira potensi kesan terhadap biodiversiti marin di kawasan sekitar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg