Biasanya, perhiasan lampu lap lip tidak asing lagi setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Bukan sekadar menerangi kawasan sekitar dengan cahaya berwarna-warni, perhiasan ini turut menyemarakkan lagi suasana tersebut, menjadikan persekitaran lebih meriah.
Di sebuah koridor blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), semangat menyambut bulan Ramadan juga semakin terasa dengan susunan lampu yang berkelipan.
Satu video yang menunjukkan perhiasan itu dimuat naik di laman TikTok pada 28 Februari oleh pengguna @hydbanger, dan telah meraih lebih 90,000 tontonan dan 5,900 ‘likes’, memperlihatkan keterujaan orang ramai terhadap persiapan menyambut bulan suci ini.
Tidak hanya dihiasi cahaya berwarna-warni, koridor itu juga dilengkapi dengan tirai serta perhiasan bulan dan bintang, menambahkan lagi seri suasana.
Video itu turut memaparkan hiasan di dalam flat HDB itu juga tidak kurang hebatnya dalam membangkitkan suasana Ramadan yang penuh bermakna.
Sebaik sahaja melangkah masuk, rak terbuka dihiasi mangkuk gangsa berisi kurma, beberapa manisan serta lampu lap lip yang menerangi ruang di sekitarnya.
Ruang lain seperti musala pula dimeriahkan dengan lampu hiasan yang indah, tasbih, serta skrin iPad yang memaparkan kelebihan berpuasa – melengkapkan lagi suasana ibadah dalam bulan Ramadan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg