PENGUASA Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah meluluskan hampir 3,000 kes pertukaran kru kapal di Singapura sejak 27 Mac, dengan tiga penerbangan sewa telah ditetapkan bagi membantu pelaut yang ingin meninggalkan kapal mereka dan pulang ke negara asal masing-masing minggu ini.
Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan mendedahkan angka ini dalam posnya di Facebook pada Selasa (9 Jun), menjawab pertanyaan laporan Financial Times, mengenai pelaut yang terkandas di tengah laut atau di rumah akibat sekatan Covid-19 di seluruh dunia.
"Banyak kru kapal telah beberapa bulan bertugas di luar kontrak mereka, kerana sekatan perjalanan baru-baru ini yang menghalang mereka daripada pulang ke rumah," kata Encik Khaw.
"Ini telah menyebabkan industri perkapalan antarabangsa menghentikan perlayaran kecuali kru pengganti dapat dibawa masuk."
Encik Khaw berkata isu ini boleh mengganggu atau menyekat rantaian bekalan global, memandangkan kapal komersial membawa 80 peratus perdagangan dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg