Lebih 200 denda bernilai $300 telah dikenakan ke atas orang awam yang tidak mematuhi langkah penjarakan selamat lebih ketat di merata Singapura pada Ahad (12 April), sedang penalti lebih tegas berkuat kuasa, kata Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (Mewr)
Bantuan polis juga diperlukan bagi lebih 20 kes yang melibatkan pihak tidak bekerjasama.
Jumlah denda itu adalah lebih sedikit daripada 3,000 amaran yang diberikan pada Sabtu, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli dalam satu pos Facebook pada malam Ahad.
"Rakyat Singapura telah menunjukkan sikap yang baik di tempat awam. Terima kasih kepada ramai orang yang memilih tinggal di rumah," tulisnya.
Tetapi beliau menambah:
"Sedang kita mulakan minggu baru, saya ingin tekankan yang kita tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang terus melanggar langkah penjarakan selamat."
Pada Sabtu (11 April), Encik Masagos memberi amaran bahawa pesalah pertama kali akan didenda $300 manakala pesalah berulang akan menghadapi denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah bagi kes lebih serius, selepas masih ramai yang tidak mengambil serius terhadap langkah itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg