SATU lagi kematian, pesakit ke-10 maut akibat Covid-19, dilaporkan di Singapura pada Selasa (14 April), dengan 334 kes jangkitan koronavirus baru dikesan.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan (MOH) ) berkata mangsa ke-10 itu merupakan seorang warga lelaki berusia 70 tahun yang menghadiri jamuan malam di Restoran Joy Garden, Safra Jurong pada 15 Februari lalu.
Beliau merupakan kes nombor 128, diuji positif pada 6 Mac dan di rawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
MOH berkata, NCID telah menghubungi keluarga mangsa itu dan kini sedang menghulurkan bantuan kepada mereka.
198 kes daripada 334 kes yang diumumkan pada Selasa berhubung kait dengan kelompok jangkitan yang sudah dikenal pasti
Sebanyak 22 kes pula berkaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini.
Lagi 114 kes masih belum dikenal pasti dan jejak kontak sedang berlangsung.
Tambahan pula, satu kelompok jangkitan baru telah dikenal pasti di asrama PPT Lodge 1A di 8 Seletar North Link.
Secara keseluruhan, jumlah kes setempat kini 3,252 pesakit dan lagi 25 pesakit telah pulih dan diizinkan pulang. Buat masa ini, seramai 611 pesakit telah pulih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg