SEORANG pegawai perkhidmatan awam telah diberkas kerana didakwa membocorkan maklumat sulit kepada orang ramai mengenai penyambungan semula kegiatan dalam fasa kedua pembukaan semula ekonomi Singapura sebelum ia diumumkan secara rasmi. Lelaki warga Singapura berusia 50 tahun itu diberkas pada Sabtu (13 Jun) bagi kesalahan penyampaian maklumat di bawah Seksyen 5 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA). Polis berkata mereka menerima laporan pada Jumaat (12 Jun) bahawa maklumat mengenai rancangan pasca pemutus rantaian jangkitan telah diedarkan melalui pesanan WhatsApp di kalangan orang ramai. Siasatan awal menunjukkan lelaki itu, yang diberi kuasa menerima maklumat sulit itu, dikatakan telah mengongsi maklumat tersebut pada Khamis dengan ahli sebuah kumpulan sembang WhatsApp peribadi. Maklumat itu kemudian disebarkan daripada kumpulan sembang itu, yang tidak diberi kuasa menerima maklumat tersebut, dan diedarkan secara meluas, kata polis. Siasatan polis sedang dijalankan. Pada 28 Mei, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata fasa kedua akan melibatkan penyambungan semula kegiatan yang lebih luas dan pembukaan semula hampir keseluruhan ekonomi. Penangkapan pada Sabtu itu adalah kes ketiga melibatkan pegawai perkhidmatan awam awam yang diberkas di bawah OSA kerana didakwa membocorkan maklumat semasa wabak Covid-19 di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg