SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun telah memasuki perairan di Pantai Changi untuk membersihkan dirinya selepas membina istana pasir bersama teman-temannya pada 22 Ogos tahun lalu.
Tetapi arus kuat membawa remaja itu jauh dari pantai.
Para pegawai dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menemui mayat Allahyarham Putera Muhammad Indra Shazrine Suzaini selepas menjalankan operasi pencarian selama dua jam.
Koroner Negara Cik Kamala Ponnampalam mengatakan semalam kejadian lemas yang dialami Allahyarham Putera sebagai satu "kejadian yang malang".
Dalam keputusannya, beliau menekankan kepentingan mengajar anak-anak tentang keselamatan di pantai, lapor The Straits Times.
Cik Kamala berkata mangsa telah memberitahu ibunya tentang rancangannya untuk ke pantai tersebut.
Allahyarham bersama teman-temannya telah ke pantai untuk berkelah, dan mereka telah memasang khemah dan bermain bola.
Selepas membina istana pasir, remaja itu, yang tidak tahu berenang, pergi ke pinggir pantai untuk membersihkan diri dengan seorang temannya yang lain tetapi mereka ditarik arus kuat ke tengah laut.
Seorang pejalan kaki kemudian masuk ke dalam laut dan berjaya menyelamatkan temannya.
Seorang lagi lelaki berenang keluar untuk cuba menyelamatkan Allahyarham Putera yang berada lebih jauh di laut, tetapi beliau tidak dapat menarik remaja itu, yang sedang bergelut di dalam air.
Lelaki itu kemudian tidak dapat mengesan mangsa dan kembali ke darat kerana keletihan.
Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang dan pegawai SCDF menemui mayat mangsa lewat hari itu.
Dalam satu wawancara bersama akhbar The Straits Times, datuk saudara tiri mangsa, Encik Noor Azman Marwi menyifatkan Allahyarham sebagai "seorang yang pendiam dan tidak suka berbual".
Pemilik syarikat pengangkutan berusia 56 tahun itu menambah: "Allahyarham adalah seorang anak yang baik kepada ibu bapanya."
Ibu Allahyarham Putera hadir di mahkamah semalam bagi dapatan siasatan itu, tetapi enggan mengulas semasa ditemui wartawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg