Pemandu kereta yang melanggar Zara Mei Orlic, empat tahun, tidak melihat kanak-kanak itu berlari melintasi jalan, menurut keterangan yang diperolehi koroner.
Dalam dapatannya mengenai kematian Zara, Koroner Eddy Tham berkata kanak-kanak perempuan yang hanya setinggi 1 meter itu tidak terlihat kerana terlindung oleh kenderaan yang diletakkan di lorong pertama Institution Hill di River Valley, ketika kereta itu membelok ke lorong lain.
Zara, warga Australia, meninggal dunia di hospital pada 23 Januari akibat cedera parah di kepala, beberapa jam selepas kemalangan itu.
Menurut laporan The Straits Times, dia berlari melintas jalan ketika dalam perjalanan pulang dari prasekolah bersama pembantu rumahnya, warga Indonesia 32 tahun, dan adik perempuannya, dua tahun.
Koroner Tham berkata pembantu rumah tersebut membawa beg sekolah kanak-kanak itu dan memegang tangan adik Zara, manakala Zara berjalan agak jauh di hadapan.
Semasa Zara berlari melintasi Institution Hill, dia tidak menyedari kereta yang datang dari arah kirinya.
“Pembantu rumah itu melihat trafik dari arah depan di lorong kedua tetapi sudah terlambat.
“Ketika itu, kereta tersebut telah melanggar Zara dan secara tragis merempuh badannya,” kata koroner.
Pemandu itu, yang memandu pulang ke Institution Hill selepas mengambil dua anaknya dari sekolah, berasa keretanya telah melanggar sesuatu.
Apabila beliau memeriksa cermin belakangnya, beliau menyedari beliau telah melanggar seorang kanak-kanak.
Pembantu rumah Zara dan pemandu itu, seorang wanita Australia, 40 tahun, bergegas ke Zara yang mengalami pendarahan dari hidung dan mulutnya.
Pembantu rumah itu, yang telah bekerja untuk keluarga tersebut sejak Oktober 2023, menghubungi bapa Zara, yang bergegas ke tempat kejadian.
Seorang penyambut tetamu yang bekerja di sekolah berhampiran menghubungi ambulans.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg