JUMLAH yang dibelanjakan masjid sempena Ramadan kali ini dijangka meningkat menyusuli kenaikan kos bagi pelbagai barangan mentah serta perkhidmatan, namun ia dapat dikawal menerusi tajaan orang ramai serta syarikat setempat, kata beberapa masjid.

Beberapa masjid yang dihubungi Berita Harian (BH) menganggarkan kenaikan sehingga 20 peratus dalam perbelanjaan.

Dalam jawapannya kepada BH, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur dan Assyafaah, Encik Izuan Mohd Rais, menganggarkan kenaikan kos yang dibelanjakan sempena Ramadan kali ini adalah antara 8 dengan 10 peratus.

"Ini mengambil kira kos umum selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Anggaran perbelanjaan sempena Ramadan boleh cecah sehingga $170,000 - di mana hampir $120,000 dibelanjakan untuk menyediakan juadah berbuka puasa, sahur serta pengagihan bubur masjid.

Beliau anggarkan kededua masjid akan menerima antara 400 dengan 500 jemaah yang berbuka, dan lebih 2,000 jemaah melakukan solat Tarawih di masjid-masjid tersebut.

"Selain itu masjid Darul Makmur juga menghantar makanan ke rumah 50 keluarga yang memerlukan bagi memastikan mereka ada makanan untuk berbuka," katanya yang jumlah jemaah yang dijangka hadir ke masjid akan kembali seperti sebelum Covid-19 melanda.

Penolong ketua pentadbiran dan operasi Masjid Ar-Raudhah, Encik Abdul Kadir Ali, pula menganggarkan kenaikan kos yang melebihi 20 peratus sepanjang Ramadan kali ini.

Beliau anggarkan perbelanjaan mencecah sekitar $150,000 semasa setiap Ramadan,

Selain sajian untuk berbuka serta bubur yang akan diagih, pihak masjid katanya, menyediakan pengangkutan bas shuttle untuk penduduk kawasan Bukit Batok yang tinggal berjauhan daripada masjid yang terletak di Bukit Batok East Ave 2 itu.

"Semasa berbuka, kami anggarkan sehingga 250 pada hari biasa dan 300 jemaah yang akan berbuka pada hujung minggu.

"Sementara bagi solat Tarawih kami anggarkan mendapat sehingga 1,500 jemaah untuk sama-sama menyerikan masjid ini," jelasnya.

Namun masjid-masjid di sini tetap berusaha untuk mengawal perbelanjaan meskipun kos yang meningkat.

Seperti contoh menerusi sumbangan dan tajaan orang ramai serta pihak korporat.

Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Amin dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, pihaknya mendapat tajaan daripada orang ramai bagi sesi berbuka, sahur dan bubur percuma, selain program yang berlangsung sepanjang Ramadan.

"Kami jangkakan kenaikan antara 10 - 20 peratus sempena Ramadan kali ini, memandangkan keadaan harga barangan mentah yang naik.

"Namun perkara ini dapat diatasi dengan kami letakkan papan tajaan di mana ramai individu serta syarikat yang tidak henti untuk terus menaja dengan mengisi ruang-ruang tajaan tahun ini," jelasnya lagi yang terus menghargai semua tajaan tersebut.

Bagi memastikan operasi sepanjang Ramadan berjalan lancar, pihak masjid turut mendapat sokongan para sukarelawan yang sama-sama menyinsing lengan untuk menjayakan program-program mereka.

Dianggarkan masjid-masjid yang dihubungi mendapat sokongan sehingga 50 relawan sepanjang Ramadan kali ini.