Krisis di Ukraine: Pemerintah sedia bantu isi rumah, perniagaan hadapi kos lebih tinggi
Krisis di Ukraine: Pemerintah sedia bantu isi rumah, perniagaan hadapi kos lebih tinggi
SINGAPURA akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi pekerjaan dan menangani kos lebih tinggi yang timbul dari krisis Russia-Ukraine, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Meskipun hubungan perdagangan Singapura dengan Russia dan Ukraine agak kecil, konflik yang sedang berlaku itu meninggalkan kesan terhadap pasaran tenaga dan ekonomi global, tambahnya dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan Belanjawan di Parlimen semalam.
Menurut Encik Wong, pelbagai usaha sedang dijalankan untuk untuk mempertingkat daya tahan bekalan tenaga dan Singapura juga berusaha menangani inflasi serta kesannya terhadap perniagaan dan isi rumah.
"Kami kini memantau situasi luar dan risiko terhadap ekonomi dengan teliti dari segi perkembangan dan juga inflasi.
"Jika situasi semakin teruk, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk melindungi pekerjaan dan juga membantu isi rumah dan perniagaan menghadapi kos lebih tinggi," katanya.
Dalam ucapannya di Parlimen pada 18 Februari lalu, Encik Wong menekankan bahawa ketegangan di Eropah Timur itu mempunyai risiko terhadap ekonomi Singapura.
Namun, di samping ketidaktentuan jangka pendek dari persekitaran luar, "prospek keseluruhan Singapura cukup baik."
Tambahnya: "Kami kini beroperasi dari kedudukan yang kukuh, oleh itu kami boleh mengorak langkah berani sekarang, yang akan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang akan datang."
Singapura mengutuk keras pencerobohan Russia terhadap Ukraine sebagai melanggar norma antarabangsa, dan merupakan salah satu penaja bersama resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan perkara tersebut.
Dengan pelbagai negara kini mengenakan sekatan ke atas Russia dan adanya gangguan terhadap bekalan, harga tenaga global dan produk lain dijangka meningkat dalam minggu-minggu akan datang.
Dalam ucapannya di Parlimen kelmarin, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong berkata pengguna jalan raya perlu menjangkakan harga pam minyak petrol dan diesel akan meningkat.
Ini selain kadar elektrik bagi kededua perniagaan dan isi rumah yang dijangka meningkat sejajar dengan kos tenaga global yang meningkat.
Penilaian awal menunjukkan kesan secara langsung kepada ekonomi dan firma boleh diatasi setakat ini, tambahnya.

