Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis Ukraine mungkin buat lebih banyak negara dapatkan senjata nuklear: Bilahari

Aug 17, 2022 | 5:30 AM
HANCUR DAN MUSNAH: Sebah pasar jalanan yang musnah di Bakhmut selepas serangan tentera, sedang pencerobohan Russia ke atas Ukraine berterusan di wilayah Donetsk pada Ahad lalu. - Foto REUTERS
HANCUR DAN MUSNAH: Sebah pasar jalanan yang musnah di Bakhmut selepas serangan tentera, sedang pencerobohan Russia ke atas Ukraine berterusan di wilayah Donetsk pada Ahad lalu. - Foto REUTERS -

PENCEROBOHAN Russia ke atas Ukraine "sedihnya... mungkin menjadi perkara yang bertanggungjawab mematikan" rejim antiperkembangan dan penyebaran senjata nuklear, kata seorang bekas diplomat kanan, Encik Bilahari Kausikan, di acara 'Bicara mengenai Masa Hadapan' anjuran akhbar The Straits Times.

"Pelajaran... yang banyak negara belajar daripada krisis Ukraine ini ialah anda harus berupaya mempertahankan diri anda.

"Dan sekiranya yang mungkin mengancam anda ialah kuasa nuklear... saya tidak fikir anda boleh menghalangnya dengan kaedah biasa; ini suatu hakikat jelas," kata mantan setiausaha tetap Kementerian Ehwal Luar Singapura itu dalam video yang disiarkan semalam.

Beliau kini pengerusi Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Di Timur Laut Asia, China sedang memodenkan kekuatan nuklearnya dan Korea Utara pula sedang membangunkan keupayaan peluru berpandu balistik antara benua (ICBN), ujar Encik Bilahari.

Hanya menunggu masa sahaja untuk timbul pertanyaan mengenai keberkesanan pencegahan yang diperluas Amerika Syarikat - yang kononnya dipanggil payung nuklear ini, katanya lagi.

Negarawan Perancis, Charles de Gaulle, ditanya soalan retorik popular sama ada, sekiranya berlaku perang nuklear, New York atau London sanggup mengambil risiko mereka dihancurkan untuk melindungi Paris, kata Encik Bilahari.

"Jawapannya jelas, tidak," ujarnya.

"Begitu juga, saya fikir dalam diam-diam, dalam lebih diam-diam mereka di Tokyo dan di mana jua akan bertanya hal yang sama.

"Dan saya fikir jawapannya sama, dan tindakan mereka akirnya juga sama dengan apa yang dilakukan oleh London dan Paris - dapatkan pencegahan dalam bentuk senjata nuklear."

Ini tidak bermakna Jepun dan Korea Selatan bersungguh-sungguh mahu menjadi negara berkuasa senjata nuklear, tegas beliau.

"Saya fikir mereka faham itu amat sulit dari segi politik, pemisahan politik yang sulit," katanya.

"Tetapi, (ancaman daripada negara-negara berkuasa nuklear) bukan suatu hal yang boleh diabaikan dan berharap (ancaman) itu akan berlalu.

"Kerana, China berada di situ. Korea Utara juga berada di situ."

Beliau menambah: "Dan walaupun mereka akan melakukan apa saja yang boleh untuk melestarikan payung nuklear (Amerika), mereka tahu ia hanya satu pertarungan untuk menangguhkan dan bukan sesuatu yang boleh dibaiki secara muktamad.

"Saya tidak tahu bila, tetapi saya fikir haluannya sudah ditetapkan."

Senjata nuklear tidak mencegah pertembungan atau peperangan konvensional, tetapi ia adalah sesuatu yang boleh menghentikannya, kata beliau.

Dalam hal ini, walaupun dunia sentiasa menjadi suatu tempat berbahaya, keseimbangan nuklear berbilang polar di Indo-Pasifik "adalah sebuah dunia lebih stabil, kerana ia boleh menamatkan, buat selama-lamanya, setelah senjata itu dibangunkan dan dikerah, ke mana-mana sahaja impian hierarki dan digunakan, baik oleh China mahupun sesiapa sahaja," kata Encik Bilahari.

"Ia membekukan bentuk yang ada sekarang," ujar beliau.

"Jika saya lihat negara-negara yang terlibat, apabila anda mempunyai imbangan nuklear yang rumit seperti ini, saya fikir kemungkinan untuk mencubanya akan berkurangan."

Negara-negara kecil pula akan mendapati imbangan berbilang polar itu memberi mereka ruang untuk bergerak, kata Encik Bilahari lagi.

"Pada prinsipnya, ini adalah sebuah dunia yang lebih baik bagi negara-negara kecil, asalkan proses menuju dari kedudukan kita sekarang ke kedudukan yang saya rasa kita akan berada diuruskan dengan baik."

Siri 'Bicara mengenai Masa Hadapan' itu tidak memberi tumpuan pada berita semasa, tetapi menyentuh isu jangka panjang lebih luas dan besar.

Antara mereka yang diwawancara ialah seorang profesor Universiti Harvard, Encik Graham Allison; sejarawan, Encik Wang Gungwu; penulis cereka sains, Encik Chen Qiufan; profesor undang-undang Universiti Yale , CikAmy Chua; dan diplomat, Profesor Tommy Koh. - ST.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg