SEEKOR kucing ditemui mati di Boon Lay pada 30 Mac, kira-kira 350 meter dari blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di mana seekor lagi kucing masyarakat didakwa dibuang dari tingkat 22 pada Disember 2022.

Dalam kejadian terbaru ini, bangkai kucing oren telah ditemui berhampiran peti surat di Blok 191 Boon Lay Drive.

Pengurus kanan masyarakat untuk Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), Cik Michelle Siau, telah menyiarkan di Facebook pada petang mayat itu ditemui dan merayu agar saksi tampil memberi maklumat.

Merujuk kepada kesan darah di sekitar bangkai, beliau berkata "kucing itu seolah-olah dipukul hingga mati".

Kucing itu tidak diketahui sebagai kucing masyarakat, jadi ia mungkin seekor haiwan peliharaan, atau telah berpindah dari tempat lain, kata presiden CWS, Cik Thenuga Vijakumar, yang juga mengesyaki kucing itu didera.

"Kami menjangkakan pihak berkuasa telah menyiasat kes sebelum ini dan akan menyiasat kes ini juga."

Ketika dihubungi akhbar Straits Times, pengarah eksekutif Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA), Cik Aarthi Sankar berkata, darah itu telah terpalit pada dinding, peti surat dan lantai yang mengelilingi kucing itu.

"Kami difahamkan pihak berkuasa sedang menyiasat kes itu dan SPCA akan memberikan apa-apa bantuan sekiranya diperlukan," katanya sambil menambah bahawa tiada maklumat yang boleh mengaitkan kejadian ini dengan kejadian sebelumnya.

Dalam kejadian sebelumnya, seekor kucing masyarakat, yang dikenali penduduk sebagai Panther, diambil oleh seorang budak lelaki yang dipercayai melemparkannya ke bawah.

Kejadian itu disiarkan ke dalam media sosial.

Bangkai kucing yang remuk itu ditemui berhampiran tempat letak basikal di Blok 186 Boon Lay Avenue oleh seorang penduduk pada petang 14 Disember 2022.

Polis mengesahkan laporan polis telah dibuat.

Pengarah kumpulan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), Cik Jessica Kwok, berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian terbaru itu dan menasihatkan orang ramai mengelakkan spekulasi.

"Haiwan liar tidak mempunyai keadaan hidup yang optimum, dan selalunya tidak mempunyai akses tetap kepada makanan, tempat tinggal dan rawatan perubatan.

"Mereka mungkin mengalami kecederaan atau mati kerana pelbagai sebab seperti pergaduhan atau serangan haiwan lain, dirempuh kenderaan atau jatuh dari tempat tinggi," katanya sambil menegaskan bahawa menjaga kebajikan haiwan adalah tanggungjawab sosial bersama.

Pesalah kali pertama yang disabitkan kesalahan mendera haiwan akan didenda hingga $15,000, dipenjara hingga 18 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Laporan lain: