Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kudapan Bangladesh ubat rindu pada keluarga semasa Ramadan

Pekerja migran di dormitori siapkan sajian buka puasa ‘jhalmuri’ secara bersama sambil pererat jalinan
Mar 27, 2025 | 2:57 PM
Encik Hossain Uzzal (dua dari kiri) dan rakan senegaranya dari Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent  menyediakan bahan-bahan membuat ‘jhalmuri’, makanan ringan pedas dan rangup asal tanah air mereka bagi hidangan buka puasa pada 23 Mac.
Encik Hossain Uzzal (dua dari kiri) dan rakan senegaranya dari Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent menyediakan bahan-bahan membuat ‘jhalmuri’, makanan ringan pedas dan rangup asal tanah air mereka bagi hidangan buka puasa pada 23 Mac. - Foto-foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Di sebuah bilik sederhana sebuah dormitori pekerja migran di Pandan Crescent, West Coast, aroma harum rempah-ratus mulai memenuhi ruang udara.

Beberapa pekerja Bangladesh, termasuk Encik Hossain Uzzal, duduk bersila di lantai, sibuk mengadun campuran beras kembung (puffed rice), kacang panggang, hirisan bawang, cili hijau, dan minyak sawi ke dalam sebuah bekas besar pada 23 Mac.

Mereka ingin membuat jhalmuri, sejenis makanan ringan yang pedas dan rangup dari Bangladesh.

“Setiap kali Ramadan, kami mesti buat jhalmuri. Ini makanan asal tanah air kami. Ia buat kami rasa lebih dekat dengan rumah,” ujar Encik Hossain, 34 tahun.

Beliau antara lebih 400 pekerja migran, termasuk pekerja kolar biru, yang tinggal di sebuah kilang yang diubah menjadi dormitori (FCD) kendalian Tiong Woon Corporation.

Encik Hossain bekerja di Pulau Bukom. Terdapat lebih 1.2 juta pekerja migran bukan pembantu rumah di Singapura pada Disember 2024, menurut laman web Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Ini termasuk pekerja migran yang bekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan proses (CMP).

Selain ‘jhalmuri’, pekerja migran Bangladesh di dormitori itu juga memotong buah-buahan seperti tembikai dan limau untuk dimakan ketika berbuka puasa.
Selain ‘jhalmuri’, pekerja migran Bangladesh di dormitori itu juga memotong buah-buahan seperti tembikai dan limau untuk dimakan ketika berbuka puasa. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi dormitori tersebut, Encik Hossain dan rakan-rakan senegaranya sedang membuat persiapan buka puasa, memotong limau dan tembikai, serta menghiris lobak merah dengan teliti sambil berbual dan tertawa kecil.

Gemersik bahan-bahan yang digaul, disertai dengan tawa kecil dan perbualan dalam bahasa Benggali, mencipta suasana yang mengingatkan para pekerja itu akan negara asal mereka.

Menurut mereka, jhalmuri tidak sekadar untuk mengisi perut selepas seharian berpuasa. Ia lebih daripada itu. Ia mengekalkan sebahagian kecil daripada budaya dan tradisi para pekerja itu walaupun mereka berada ribuan kilometer dari tanah air mereka.

Bagi mereka, setiap suapan jhalmuri membuat mereka terkenang zaman kanak-kanak mereka di Bangladesh.

“Tak susah nak buat jhalmuri, boleh saja beli bahan dari pasar raya, tetapi yang susah ialah perasaan rindu pada orang yang selalu buatkan kami jhalmuri,” kata Encik Hossain, sambil tertawa kecil.

Selepas mencampurkan bahan-bahan kering seperti bawang dan sayur-sayuran, minyak sawi dituang ke dalam campuran itu untuk melengkapkan hidangan ‘jhalmuri’.
Selepas mencampurkan bahan-bahan kering seperti bawang dan sayur-sayuran, minyak sawi dituang ke dalam campuran itu untuk melengkapkan hidangan ‘jhalmuri’. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Encik Islam Md Shahenul, 37 tahun, berkongsi bahawa kebanyakan mereka mengelak memakan makanan gorengan kerana ia boleh menyebabkan sakit perut setelah sehari berpuasa.

“Sebab itu kami banyak makan buah-buahan supaya kami dapat menghidratkan diri. Kami senang penat semasa Ramadan, jadi buah-buahan ini dapat menyegarkan kami,” jelasnya.

Menjelang waktu buka puasa, mereka bersama-sama membawa turun bekas mengandungi jhalmuri dan buah-buahan, serta jag minuman ke dewan serbaguna yang berfungsi sebagai ruang makan dan dewan solat.

Apabila azan maghrib berkumandang, semangat gotong-royong, ukhuwah dan kemesraan menyelubungi dewan itu apabila pekerja migran ini mengagihkan dulang-dulang dipenuhi kurma, buah-buahan dan jhalmuri.

Berbuka puasa bersama rakan senegara membolehkan mereka sedikit sebanyak melepaskan rasa rindu terhadap tempat tinggal mereka yang jauh, walaupun perasaan rindu akan keluarga masing-masing tetap datang bertandang.

Pekerja migran Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent membaca doa sebelum berbuka puasa.
Pekerja migran Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent membaca doa sebelum berbuka puasa. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Bagi Encik Hussan Emtiaz, 38 tahun, rutin hariannya tidak lengkap tanpa satu perkara – panggilan video bersama keluarga tersayang di Bangladesh.

“Selepas sahaja balik dari kerja, saya akan menelefon isteri dan dua anak perempuan saya untuk bertanya khabar mereka.

“Kadangkala melihat wajah mereka membuat saya rindu sangat kepada mereka… rasa nak nangis pun ada,” ujarnya.

Kehidupan sebagai pekerja migran di negara asing tidak mudah, tetapi ikatan persahabatan di antara mereka menjadikannya lebih ringan.

Encik Rony Rafiqul Islam, 37 tahun, berkata: “Kami rasa selesa dengan satu sama lain, lantas terasa seronok walaupun kami rindu keluarga di tanah air.”

Antara penghuni Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent, (dari kiri) Encik Hossain Uzzal, Encik Ahmmed Jafor, Encik Islam Md Shahenul, Encik Hussan Emtiaz, dan Encik Rony Rafiqul Islam.
Antara penghuni Bangladesh di dormitori Tiong Woon Corporation di Pandan Crescent, (dari kiri) Encik Hossain Uzzal, Encik Ahmmed Jafor, Encik Islam Md Shahenul, Encik Hussan Emtiaz, dan Encik Rony Rafiqul Islam. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Sekiranya mempunyai masa lapang selepas kerja, mereka akan bersama-sama membaca Al-Quran.

Encik Ahmmed Jafor, 35 tahun, berkata kegiatan itu membolehkan mereka meningkatkan ibadah semasa Ramadan.

Menurut yang lain, ramai pekerja migran Bangladesh mendapatkan bimbingan cara membaca Al-Quran daripada Encik Ahmmed.

“Saya sekadar mahu membantu sedikit sebanyak. Saya rasa gembira rakan-rakan saya meletakkan kepercayaan mereka pada saya untuk membimbing mereka,” ujarnya.

Seusai makan dan solat maghrib, mereka membersihkan ruang makan dan dewan solat itu.

Sisa jhalmuri di dalam bekas hampir habis, tetapi aromanya masih melekat di udara, seperti kenangan tanah air yang tidak pernah pudar.

“Apabila kami buat jhalmuri di sini, kami rasa seperti berada di rumah… walaupun kami tahu keluarga kami berada jauh di sana,” ujar Encik Hossain, merenung ke arah rakan-rakannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg