Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan anjing liar kejar orang awam di Pasir Ris

Nov 7, 2023 | 6:11 PM
PECUT LARI: Seorang individu yang sedang berlari-lari anak di sepanjang Pasir Ris Drive 3 dikejar anjing liar.
PECUT LARI: Seorang individu yang sedang berlari-lari anak di sepanjang Pasir Ris Drive 3 dikejar anjing liar. - Foto TIKTOK/GARYGARYOCP

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) sedia maklum terhadap sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Pasir Ris Drive 3.

Anjing tersebut dikatakan mengganggu orang awam yang lalu-lalang di kawasan tersebut.

Dalam satu kejadian yang dirakam dan dimuat naik pengguna Tiktok garygaryocp pada Ahad, sekurang-kurangnya lima anjing sedemikian dilihat mengejar seorang lelaki yang sedang berlari-lari anak sendirian di kawasan itu pada sebelah malam.

View post on TikTok

Lelaki itu dilihat berteriak sambil memecut lari apabila dikejar anjing itu.

Menukil laporan AsiaOne, pengguna Tiktok itu berkata individu yang dikejar itu terjatuh semasa berlari dan dikatakan mengalami luka-luka di tapak tangan, siku dan lutut.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pengarah Kumpulan bagi Pengurusan Haiwan Masyarakat AVS, Dr. Chang Siow Foong, berkata pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada 4 November.

Menurutnya, AVS sedia maklum tentang kumpulan anjing liar ini.

Pihaknya sedang memerangkap dan menjalankan pengawasan di kawasan tersebut secara aktif.

“Apabila anjing-anjing ini ditangkap, ia akan diuruskan sebagai sebahagian daripada program perangkap, kembiri, cari rumah baru atau lepaskan secara terurus (TNRM),” tambah Dr. Foong.

Program tersebut melibatkan penangkapan anjing liar secara baik dan mengembirikannya.

AVS kemudian akan berusaha menempatkan semula sebanyak mungkin anjing yang telah dikembirikan.

“Anjing yang tidak dapat ditempatkan semula akan dilepaskan di lokasi yang sesuai, jauh dari kawasan perumahan, untuk jalani kehidupan secara semula jadi,” kata Dr Foong.

Beliau menambah sejak pelancaran program TNRM pada 2018, lebih 3,900 anjing liar telah ditangkap dengan lebih 60 peratus berjaya ditempatkan semula atau dipelihara.

Anjing ialah haiwan ‘territorial’ (bersifat pekarangan) dan boleh menyalak sebagai tindak balas kepada manusia atau haiwan lain yang berada di atau sedang menghampiri pekarangannya.

Ia mungkin mempunyai naluri semula jadi untuk mengejar dan menangkap sesuatu, walaupun tingkah laku ini berbeza dalam intensiti dan tidak semua anjing menunjukkan ciri-ciri sedemikian, kata beliau.

Orang awam yang berhadapan dengan anjing liar, kata Dr. Foong, dinasihatkan untuk tidak bertentang mata dengan haiwan tersebut, bertutur dengan nada perlahan dan beredar dengan perlahan dari kawasan itu tanpa sebarang gerak-geri mengejut.

Jika mereka memerlukan bantuan, mereka boleh hubungi Pusat Respons Haiwan di talian 1800-476-1600 atau layari laman www.avs.gov.sg/feedback.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg