Kumpulan FairPrice (FPG) telah mendapat kelulusan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menggunakan kenderaan tanpa pemandu bagi pengangkutan kargo kerana ia ingin meningkatkan produktiviti sambil mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam satu kenyataan pada 24 Oktober, rangkaian pasar raya itu berkata ia adalah organisasi pertama di Singapura yang mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk percubaan peringkat akhir menggunakan kenderaan autonomi atau pandu sendiri di jalan raya untuk mengangkut kargo.
Menurutnya, fasa pertama percubaan di jalan raya bermula pada 18 Oktober dan melibatkan kenderaan autonomi menjalani pandu uji “setiap hari dan malam”, diiringi sebuah kenderaan keselamatan.
Sebaik sahaja kenderaan itu memenuhi piawaian LTA bagi keselamatan jalan raya, fasa kedua akan bermula. Ini akan membolehkan kenderaan itu dipandu uji tanpa diiringi kenderaan keselamatan, lapor The Straits Times.
Keseluruhan percubaan tersebut akan berakhir sebaik sahaja LTA memberikan kelulusan terakhirnya.
Sebaik sahaja mendapat kelulusan, kenderaan autonomi FPG akan menjadi yang pertama di Singapura mengangkut kargo di jalan awam tanpa pengawasan manusia, kata kenyataan FPG itu lagi.
Kumpulan itu sedang bekerjasama dengan Zelos Technology, sebuah syarikat teknologi pemanduan autonomi, untuk memperkenalkan kenderaan pandu sendiri ke dalam kumpulan kenderaannya, tambah kenyataan tersebut.
Jika percubaan itu berjaya, Zelos Z10 – kenderaan autonomi dengan kapasiti muatan sehingga 1.5 tan dan ruang kargo seluas 10 m persegi – akan ditambah ke dalam kumpulan kenderaan FairPrice, dan akan digunakan untuk memindahkan barangan antara pusat pengedaran Benoi dengan Joo Koon, satu jarak yang tidak sampai 2km.
Kenderaan itu menggunakan bateri elektrik, dan pengecasan penuh akan membolehkannya memandu sehingga 210km.
Ia adalah kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya yang pertama direka bagi sektor logistik yang bakal menerima lesen LTA untuk mengendalikan kenderaan autonomi di jalan raya, kata kenyataan itu.
Selain FPG, pengendali lapangan terbang Changi Airport Group, Syarikat Kejuruteraan Singapore Airlines dan Sats Airport Services, telah menandatangani perjanjian pada Julai lalu untuk mencuba bas pandu sendiri yang akan mengangkut pekerja di sekitar kawasan larangan Lapangan Terbang Changi mulai suku ketiga 2024.
Ia bertujuan memudahkan pekerja daripada melakukan tugas pemanduan rutin dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada aktiviti lebih rumit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg