SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kumpulan kerja MCI, MSE bakal bantu penjaja raih faedah daripada pendigitalan

Kumpulan kerja MCI, MSE bakal bantu penjaja raih faedah daripada pendigitalan

Jul 26, 2021 | 5:30 AM

Kumpulan kerja MCI, MSE bakal bantu penjaja raih faedah daripada pendigitalan

KUNJUNGI GERAI: Encik Tan Kiat How (kiri) mengunjungi sebuah gerai di Pasar dan Pusat Makanan Haig Road untuk mendapatkan maklum balas dan bagaimana mereka bertahan sewaktu pandemik ini. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID
KUNJUNGI GERAI: Encik Tan Kiat How (kiri) mengunjungi sebuah gerai di Pasar dan Pusat Makanan Haig Road untuk mendapatkan maklum balas dan bagaimana mereka bertahan sewaktu pandemik ini. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID -

MENCARI huraian dengan semua pihak dapat meraih faedah daripadanya.

Itulah pendekatan yang diambil kumpulan kerja Perikatan untuk Bertindak (AfA) - Tempahan Dalam Talian Bagi Penjaja, sedang sektor makanan dan minuman (F&B) terhimpit dengan masalah dan cabaran yang disebabkan pandemik Covid-19 ini.

Kumpulan kerja yang baru ditubuhkan bulan lalu, dan dipengerusikan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), bertujuan membantu penjaja yang terjejas akibat Covid-19 mendapat lebih ramai pelanggan melalui tempahan dalam talian.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, menjelaskan bahawa beberapa huraian akan dibentangkan dalam beberapa bulan mendatang.

"Ia sangat unik kerana tidak selalu pemerintah yang akan memberikan penyelesaian. Kami menggabungkan rakan industri seperti platform penghantaran makanan dan para penjaja serta rakan masyarakat agar sama-sama mencipta huraian berbeza.

"Kami membincangkan isu-isu yang dihadapi penjaja dan bagaimana kita dapat bekerjasama untuk mengembangkan penyelesaian yang dapat memanfaatkan semua pihak," katanya.

Menerangkan dengan lebih lanjut, Encik Tan berkata penyelesaian itu hendaklah menitik beratkan tiga faktor iaitu penjaja perlu menjual makanan mereka di dalam wadah penghantaran makanan ini pada harga yang akan membolehkan mereka meraih keuntungan dan pelanggan juga dapat membeli makanan pada harga yang dimampui.

Selain itu, kumpulan kerja itu juga perlu memastikan firma khidmat penghantaran makanan ini dapat meraih keuntungan, di samping memastikan pekerja penghantar makanan turut meraih pendapatan yang baik.

"Oleh itu, dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, kita akan teruskan perbincangan dalam kumpulan kecil kerana tujuannya adalah memperolehi huraian yang kukuh," ujar Encik Tan, yang juga merupakan pengerusi bersama AfA bersama Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor.

Pada 17 Jun lalu, AfA Bagi Tempahan Dalam Talian Bagi Penjaja telah mengadakan perbincangan pertama mereka yang dihadiri anggota platform penghantaran makanan seperti Bungkus, Deliveroo, FoodPanda, GrabFood, Oddle dan WhyQ; wakil penjaja serta wakil daripada laman media sosial seperti WheretoDabao dan SaveTheHawkersBot.

Menerusi perbincangan, mereka telah mengenal pasti tiga bidang tumpuan bagi membantu penjaja beralih kepada wadah penghantaran makanan dalam talian serta mendigitalkan perniagaan mereka.

Ini termasuk menyokong penjaja dengan menyediakan sumber maklumat kepada mereka, mewujudkan wadah yang dapat dikekalkan serta meningkatkan permintaan makanan penjaja dalam talian dalam kalangan pelanggan mereka.

Menyusuli perbincangan itu juga, kumpulan kerja tersebut telah melantik 20 wakil daripada masyarakat penjaja, rakan kongsi industri, dan agensi pemerintah, untuk memimpin usaha membantu penjaja meraih manfaat menyertai wadah penghantaran makanan dalam talian.

"Kami telah belajar daripada pengalaman kami sewaktu mengusahakan daya usaha e-bayaran yang kami mulakan sebelum Covid-19.

"Dan kini kami menerapkan pelajaran yang diperoleh itu kepada khidmat pesanan dan penghantaran makanan dalam talian ini dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada penjaja, platform penghantaran makanan serta para pengguna," tambahnya.

Encik Tan menegaskan bahawa setiap perniagaan tidak keseorangan dalam peralihan mereka ke arah digitalisasi.

Bimbingan daripada duta digital sentiasa tersedia untuk peniaga F&B yang ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19 ini.

"Kami ingin mendorong semua penjaja kami agar mencuba sesuatu yang berbeza selain melihat bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan beberapa teknologi baru ini.

"Ini dapat dijadikan seperti pendapatan tambahan buat mereka," kata Encik Tan lagi.

"Akhir sekali, mesej yang ingin disampaikan adalah bahawa pemerintah dan masyarakat akan terus menyokong penjaja kita. Kami sangat bangga dengan budaya penjaja kita kerana kami membesar dengan makanan penjaja.

"Ia adalah sesuatu yang unik dan berharga pada kami, justeru kami akan berusaha bersama untuk membantu penjaja dalam masa yang sukar ini."

"Akhir sekali, mesej yang ingin disampaikan adalah bahawa pemerintah dan masyarakat akan terus menyokong penjaja kita. Kami sangat bangga dengan budaya penjaja kita kerana kami membesar dengan makanan penjaja.

Ia adalah sesuatu yang unik dan berharga pada kami, justeru kami akan berusaha bersama untuk membantu penjaja dalam masa yang sukar ini." - Encik Tan Kiat How, Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara).

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg