Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan rok Taiwan sumbang $200,000 kepada hab pendidikan keperluan khas MIJ Hub

Jun 27, 2024 | 2:46 PM
Pengasas dan pengerusi My Inspiring Journey Hub atau dikenali sebagai MIJ Hub, organisasi bukan untung yang menawarkan kurikulum akademik dan kemahiran hidup harian kepada golongan berkeperluan khas berusia empat hingga 40 tahun, Cik Faraliza Zainal (diri), menghargai dan berasa syukur dengan sumbangan yang dihulurkan kumpulan Mayday.
Pengasas dan pengerusi My Inspiring Journey Hub atau dikenali sebagai MIJ Hub, organisasi bukan untung yang menawarkan kurikulum akademik dan kemahiran hidup harian kepada golongan berkeperluan khas berusia empat hingga 40 tahun, Cik Faraliza Zainal (diri), menghargai dan berasa syukur dengan sumbangan yang dihulurkan kumpulan Mayday. - Foto MIJ HUB

Apabila mendapat tahu My Inspiring Journey Hub, atau singkatannya MIJ Hub, akan menerima derma berjumlah $200,000, Cik Faraliza Zainal, selaku pengasas dan pengerusi, rasa terkejut apatah lagi apabila pemberinya adalah sebuah kumpulan legenda rok yang tidak dikenalinya sebelum ini.

Kumpulan Mayday, kugiran rok dari Taiwan dalam satu paparan penghargaan yang luar biasa, membuat sumbangan $200,000 kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan itu. Ketua kumpulan Mayday, We Shang-yi (atau lebih dikenali sebagai Monster) berkata: 

“Kami sentiasa menghargai hubungan yang baik dengan peminat kami di Singapura, dan sumbangan ini adalah cara kami untuk memberi kembali kepada komuniti yang telah banyak menyokong kami sepanjang 25 tahun yang lalu.”

Menurutnya lagi, dengan pelaburan untuk masa depan pelajar MIJ Hub, Mayday bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan segera tetapi juga memupuk pertumbuhan jangka panjang dan peluang untuk individu berkeperluan khas, mewujudkan kesan riak positif yang akan memberi manfaat kepada pelajar, keluarga mereka, dan masyarakat dengan lebih meluas.

MIJ Hub dikelolakan oleh pasangan suami isteri Encik Mohammad Ali Dawood dan Cik Faraliza, yang telah meninggalkan pekerjaan korporat mereka untuk memulakan MIJ Hub pada 2011, setelah mendapat tahu anak mereka Ashraf didiagnos dengan autisme.  

Cik Faraliza cekal mempelajari cara-cara untuk menangani anaknya dan melengkapkan dirinya dengan pengetahuan tentang autisme, sehinggalah MIJ menjadi pusat pendidikan keperluan khas yang bereputasi. 

“Apabila kami dihubungi oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, saya tidak diberitahu siapa pendermanya, atau berapa jumlahnya. Kami hanya diberitahu di saat akhir. 

“Sebelum ini, saya tidak kenal dengan kumpulan Mayday, tetapi saya sangat menghargai derma ini, dan ini menunjukkan rezeki boleh datang dari mana-mana. Alhamdulillah.” kata Cik Faraliza ketika bercakap dengan Berita Harian (BH) MIJ Hub telah menerima derma itu pada 20 Jun lalu.

Menurut Pengarah Eksekutif MIJ, Encik Muhammad Nasrul Rohmat, sumbangan daripada Mayday akan memberi kesan perubahan ketara kepada kehidupan 22 pelajar di MIJ Hub, dan lebih separuh akan digunakan untuk menyokong pelajar dalam Program Kesediaan Dewasa selama dua tahun.

Ini di samping menyediakan sukatan pendidikan yang disusun dengan teliti untuk membantu mereka mengenal pasti dalam memahami kebolehan mereka dan membantu mereka mendapatkan latihan atau penempatan kerja.

Baki dana akan memberi manfaat kepada pelajar dalam Program Persediaan Intervensi Awal (EIPP) selama dua tahun, menyediakan mereka peralihan yang lancar untuk mendaftar di persekitaran sekolah rendah.

“Kami amat berterima kasih kepada Mayday atas kemurahan hati mereka dan komitmen mereka dalam memberi kesan yang berkekalan terhadap kehidupan individu berkeperluan khas.

“Sumbangan mereka menjadi contoh semangat untuk memberi kembali, menghulurkan sokongan penting kepada pelajar kami, dan membolehkan organisasi seperti kami untuk berkembang maju dan membuat perubahan. Kami teruja melihat kumpulan yang terkenal menyumbang kepada masyarakat di Singapura. 

“Kami juga menghargai usaha CDC South East dalam memahami keperluan masyarakat dan secara aktif mencari rakan kongsi korporat yang sedia menyumbang,” kata Encik Nasrul. 

MIJ Hub berdedikasi untuk memperkasakan individu berkeperluan khas dari usia empat hingga 40 tahun, merentas enam diagnosis termasuk autisme, masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), palsi serebrum, disleksia, sindrom down dan kelewatan perkembangan global melalui program pendidikan komprehensif, latihan vokasional, dan integrasi dengan komuniti.

Sumbangan ini menandakan ulang tahun ke-25 untuk kumpulan Mayday. Ini selain mencerminkan rasa terima kasih mereka atas sokongan peminat Singapura sepanjang kerjaya cemerlang mereka.

Kumpulan ini dalam perancangan bertemu peminat Singapura dalam konsert yang bakal diadakan pada 11 dan 12 Januari 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg