KADAR pesalah Melayu yang mengulangi kesalahan jenayah, atau residivisme, berkurangan daripada 26 peratus pada 2019 kepada 24.7 peratus pada 2020.
Penurunan kadar residivisme itu boleh dikaitkan dengan usaha kolektif masjid dan badan Melayu/Islam (MMO) bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Kerjasama itu memberi sokongan selaras dan holistik kepada pesalah dan bekas pesalah Melayu dan keluarga mereka.
"Kadar residivisme yang berkurangan ini adalah satu aspek yang konsisten. Ini menunjukkan bahawa apa yang kita lakar bersama rakan kongsi dalam masyarakat telah membawa manfaat dan aspek yang positif.
"Ini walaupun kita tahu bahawa proses pemulihan dan integrasi semula dalam masyarakat bukan mudah," kata Dr Faishal.
Antara usaha masyarakat ialah Projek Pelita Hati yang dianjurkan oleh Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) di Masjid Ba'alwie pada April.
Projek itu mengagih habuan pek perayaan serta baucar kepada pasangan dan keluarga pesalah yang mempunyai anak.
Ia merupakan inisiatif HGEF dengan kerjasama MHA dan SPS serta disokong oleh kempen antidadah Dadah Itu Haram bagi membawa keceriaan dan memberi sokongan emosi kepada anak pesalah dadah serta menggalak mereka terus bermotivasi dalam pendidikan.
Sebagai perbandingan, kadar residivisme pesalah pada peringkat nasional bagi 2019 dan 2020 kekal rendah dan stabil pada sekitar 20 peratus.
Dr Faishal berkata rakan kongsi masyarakat harus terus berusaha mencapai kadar residivisme lebih rendah dalam masa akan datang.
Beliau mahu rakan kongsi masyarakat meluaskan pendekatan mereka bersama masyarakat untuk melibatkan mereka memainkan peranan dalam integrasi semula pesalah.
"Kita harus berfikir bagaimana kita dapat mengukuhkan lagi kerjasama yang lebih rapat antara rakan kongsi masyarakat dalam masa akan datang.
"Bersama, kita dapat melakar idea-idea kreatif dan inovatif bukan bagi pesalah sahaja, bahkan keluarga mereka," ujar jelas Dr Faishal.
KURANG SECARA KONSISTEN
"Kadar residivisme yang berkurangan ini adalah satu aspek yang konsisten. Ini menunjukkan bahawa apa yang kita lakar bersama rakan kongsi dalam masyarakat telah membawa manfaat dan aspek yang positif. Ini walaupun kita tahu bahawa proses pemulihan dan integrasi semula dalam masyarakat bukan mudah."
PERLU PERKUKUH LAGI KERJASAMA
"Kita harus berfikir bagaimana kita dapat mengukuhkan lagi kerjasama yang lebih rapat antara rakan kongsi masyarakat dalam masa akan datang.
Bersama, kita dapat melakar idea-idea kreatif dan inovatif bukan bagi pesalah sahaja, bahkan keluarga mereka."
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg