Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurang teduh bagi penduduk selepas pokok ditebang bagi peluasan laluan berbasikal

May 19, 2023 | 2:23 PM
KURANG TEMPAT BERTEDUH: Lima pokok kelihatan telah ditebang, dengan hanya tunggul yang ditinggalkan di Hougang Avenue 2 pada 14 Mei. - Foto SHIN MIN
KURANG TEMPAT BERTEDUH: Lima pokok kelihatan telah ditebang, dengan hanya tunggul yang ditinggalkan di Hougang Avenue 2 pada 14 Mei. - Foto SHIN MIN -

BEBERAPA batang pokok besar di Hougang Avenue 2 telah ditebang untuk memberi ruang kepada laluan berbasikal yang lebih luas.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, pada Isnin lalu, pokok-pokok yang sihat dan matang itu - yang ditanam di kaki lima di sebelah kondominium yang sedang dibangunkan, The Florence Residences - sebelum ini telah dialihkan oleh pemaju hartanah itu, menyebabkan kurang tempat berteduh untuk penduduk.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan, pengarah kumpulan landskap tepi jalan Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Oh Cheow Sheng, berkata NParks telah, pada Mac 2020, meluluskan rancangan pemaju hartanah untuk mengalihkan beberapa pokok di tepi jalan di sepanjang Hougang Avenue 2 dan Hougang Avenue 10 yang akan terjejas dengan kerja-kerja pembaikan jalan yang dirancang.

"Pada Mei 2023, pemaju mengemukakan usulan baru untuk mengalihkan pokok tambahan di sepanjang Florence Road untuk mempertingkatkan laluan berbasikal dan pemasangan lampu yang berkaitan.

"Pemaju telah memasang papan tanda pada pokok ini untuk memaklumkan penduduk tentang rancangan yang diusulkan mereka," kata Encik Oh.

"Kami sedang menyemak permintaan dengan pemaju dan agensi berkaitan dan meneroka pilihan yang akan mengurangkan kesan kepada pokok sedia ada ini dan untuk mengekalkannya di mana mungkin," tambahnya.

Namun, apabila Shin Min melawat tapak itu pada 14 Mei, lima pokok telah ditebang, dengan hanya tunggul yang ditinggalkan.

Sembilan pokok besar lain mempunyai notis padanya, ditujukan kepada penduduk, memberitahu mereka tentang penebangan pokok yang akan berlaku. Nota itu termasuk nombor hubungan wakil pemaju hartanah untuk sebarang pertanyaan.

Seorang penduduk yang tinggal di kawasan itu, Cik Lin Meijiao, 51 tahun, memberitahu Shin Min bahawa beliau menghubungi wakil pemaju dan diberitahu bahawa lampu jalan perlu dipasang sebelum menebang pokok di bawah nasihat pihak berkuasa.

Pemaju itu juga telah meminta kebenaran daripada NParks sebelum memulakan penebangan pokok, tambah Cik Lin, seorang ahli fisioterapi.

Wakil pemaju itu berkata bahawa ia masih mengumpul maklum balas dan membincangkan perkara itu.

Seorang lagi penduduk, Encik Huang, berkata dengan penebangan pokok, ia akan mengambil masa yang lama untuk pokok kecil yang baru ditanam untuk tumbuh semula menjadi pokok besar.

"Pokok besar itu telah bersama kami selama bertahun-tahun. Ia tidak mudah. Saya harap ia tidak akan ditebang."

Bagaimanapun, sebilangan penduduk tidak terganggu dengan proses itu.

Encik Derry, yang tinggal di rumah berdekatan, berkata masih terdapat beberapa pokok lain untuk berteduh di kawasan sekitaran dan pemotongan pokok itu tidak banyak memberi kesan kepadanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg