Topic followed successfully
Go to BHkuKurangi denggi, Zika: Ribuan nyamuk jantan mandul dilepaskan di Nee Soon East
Kurangi denggi, Zika: Ribuan nyamuk jantan mandul dilepaskan di Nee Soon East
Kurangi denggi, Zika: Ribuan nyamuk jantan mandul dilepaskan di Nee Soon East
RIBUAN nyamuk jantan mandul telah dilepaskan di Nee Soon East awal pagi semalam, sebagai sebahagian daripada kajian Agensi Sekitara Kebangsaan (NEA) untuk mengurangkan kejadian denggi dan Zika di Singapura.
Projek Wolbachia menandakan pelancaran fasa ketiga kajian itu, yang bertujuan mengetahui sama ada penyekatan bilangan nyamuk Aedes aegypti - spesies utama yang bertanggungjawab menyebar kedua-dua penyakit tersebut - boleh dikekalkan di kawasan yang lebih besar, kata NEA.
Ia berikutan kejayaan pengurangan bilangan nyamuk Aedes di tapak percubaan Nee Soon East dan Tampines West, masing-masing kepada 20 peratus dan 50 peratus bulan lalu.
Peranan nyamuk Wolbachia-Aedes, yang tidak menggigit atau menyebar penyakit, adalah untuk mengawal dan mengurangkan bilangan nyamuk Aedes.
Telur yang dihasilkan daripada pasangan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan dan nyamuk Aedes betina tidak akan menetas, mengehadkan bilangan larva nyamuk yang setiap nyamuk Aedes betina boleh menghasilkan.
"Kami menjangkakan perubahan iklim akan memburukkan lagi penyebaran penyakit yang dibawa nyamuk, dengan suhu yang lebih tinggi... dan peningkatan hujan," kata Menteri Negara Kanan (Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor, yang menghadiri pelancaran itu semalam.
Bilangan kes denggi telah meningkat sejak Disember tahun lalu, naik 560 kes kepada 1,071 kes bulan lalu, tambahnya.
"Kita masih perlu ingat bahawa teknologi Wolbachia masih dalam penyelidikan dan bukan huraian segera... Kami akan menggunakannya sebagai pelengkap kepada usaha kawalan nyamuk sedia ada, jadi tindakan dan kewaspadaan masyarakat tetap penting," katanya.
Semalam, tiga ekor nyamuk Wolbachia-Aedes jantan ini dilepaskan bagi setiap orang di Nee Soon East, namun NEA akan menyesuaikan bilangan nyamuk yang akan dilepaskan untuk mengekalkan bilangan nyamuk sekarang, atau untuk menurunkan bilangan lebih tinggi di kawasan yang diperluas.
Nyamuk akan dilepaskan dua kali seminggu di sekitar blok HDB dan di sepanjang koridor 84 blok di Nee Soon East.
Fasa ketiga akan melihat lebih banyak keluarga mengambil bahagian dalam kajian itu: 7,950 keluarga di Nee Soon East dan 5,560 keluarga di Tampines West.

