Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kursus baru di bawah ARS bantu guru ngaji tidak berkelayakan

Oct 28, 2017 | 5:30 AM
PENTAULIAHAN INKLUSIF: Kursus BCQT ialah kursus ARS baru yang ditujukan kepada guru ngaji Al Quran yang tidak berkelayakan. Ia dijangka memanfaatkan sekitar 700 guru ngaji yang kini sedang mengajar Al Quran, tetapi tidak berkelayakan minimum untuk menyertai ARS. Namun mereka akan menyertai ARS selepas melengkapkan kursus ini.
PENTAULIAHAN INKLUSIF: Kursus BCQT ialah kursus ARS baru yang ditujukan kepada guru ngaji Al Quran yang tidak berkelayakan. Ia dijangka memanfaatkan sekitar 700 guru ngaji yang kini sedang mengajar Al Quran, tetapi tidak berkelayakan minimum untuk menyertai ARS. Namun mereka akan menyertai ARS selepas melengkapkan kursus ini. -

KURSUS pentauliahan baru, di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), telah diperkenalkan, bagi membantu guru ngaji Al Quran yang tidak berkelayakan.

Guru mengaji yang melengkapkan kursus itu akan menerima Sijil Asas bagi Guru Al- Quran (BCQT) dan layak mengajar ngaji AL Quran di bawah peringkat asas atau QT 3.

Pentauliahan guru ngaji ARS dibahagi kepada tiga peringkat.

Dalam kenyataannya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata BCQT disasarkan kepada guru ngaji yang sedang mengajar ngaji Al Quran, tetapi tidak memiliki kelayakan minimum untuk menyertai ARS.

Sekitar 700 guru ngaji dijangka dapat memanfaatkan kursus baru ini.

Menurut jurucakap Muis dua daripada empat edisi kursus BCQT telah berakhir. Baki dua sedang berjalan.

Sebahagian besar kos kursus itu dibiayai Muis dan peserta membayar $10 seorang.

Semasa berucap dalam majlis penyampaian sijil ARS kepada Pusat Penyedia Pendidikan Islam (IECP) di Hab Islam Singapura semalam, Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata kursus ini adalah sebahagian komitmen Muis dalam memastikan ARS mandatori kekal inklusif dan terus menyokong pembangunan guru agama.

"Ramai individu tampil mendaftar selepas ARS menjadi mandatori. Sebahagian daripada mereka tidak memiliki kelayakan rasmi tetapi telah mengajar secara sukarela, termasuk kepada keluarga sendiri.

"Lantaran itu, mereka khuatir dan ingin mengetahui cara mereka boleh dibantu untuk memenuhi syarat pendaftaran, kerana mereka amat berminat mengajar agama dan ingin terus berbuat demikian," kata Dr Mohamed Fatris.

"Sebelum ini, Muis telah memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kami akan menguruskan pendaftaran semua guru agama, selagi mereka (guru agama itu) memenuhi kriteria minimum.

"Selepas melengkapkan kursus ini, guru agama ini akan berdaftar dengan ARS," ujar Dr Mohamed Fatris.

BCQT dibangunkan bersama oleh Muis, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan Darul Quran.

Dilancarkan pada 2005, ARS bertujuan mempertingkat kewibawaan asatizah setempat sebagai sumber rujukan agama yang bertauliah bagi Muslim Singapura. Ia menjadi mandatori tahun ini dan asatizah dan IECP yang ingin mengajar agama di Singapura perlu mendapat pentauliahann ini.

Antara lain, kursus BCQT merangkumi pengajaran empat bidang utama iaitu Tajwid Al Quran, Ulum Quran (pengajian Al Quran), Fardu Ain dan Quran dalam Konteks, serta Kod Etika ARS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg