Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Label bantu pembeli buat pilihan lebih bijak

Tanda itu terdiri daripada empat gred yang mengkategorikan minuman dari A hingga D, dengan D sebagai paling tidak sihat
Dec 9, 2022 | 5:30 AM
GAYA HIDUP SIHAT: Minuman dengan label 'Nutri-Grade' yang ditemui di FairPrice Xtra VivoCity pada 2 Disember lalu. - Foto BH oleh MARK CHEONG
GAYA HIDUP SIHAT: Minuman dengan label 'Nutri-Grade' yang ditemui di FairPrice Xtra VivoCity pada 2 Disember lalu. - Foto BH oleh MARK CHEONG -

BEBERAPA pengilang minuman telah mengubah resipi mereka untuk mengurangkan gula dan lemak tepu, selain memperkenalkan label pemakanan pada minuman yang sudah dibungkus sebelum tarikh akhir hujung tahun ini.

Mulai 30 Disember, minuman dibungkus yang mengandungi gula serta lepak tepu yang lebih tinggi perlu dilabel dengan tanda 'Nutri-Grade' atau Gred-Nutrisi dalam satu skim yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 2019.

Tanda itu terdiri daripada empat gred yang mengkategorikan minuman dari A hingga D, dengan D yang paling tidak sihat.

Produk termasuk jus buah dan minuman jus, minuman ringan, minuman yogurt dan susu, serta minuman serbuk segera.

Minuman yang diberi gred C dan D, gred paling tidak sihat, perlu mempunyai label Gred-Nutrisi dan yang dilabel D tidak boleh diiklankan di mana-mana wadah media.

Langkah untuk memperkenalkan peraturan pelabelan baru merupakan sebahagian usaha nasional untuk membantu orang ramai mengawal diet tidak sihat dan mencegah penyakit seperti kencing manis.

Pemeriksaan oleh The Straits Times mendapati bahawa beberapa pengilang telah pun melancarkan produk dengan label Gred-Nutrisi.

Di laman web FairPrice, 77 daripada 124 jus di bawah seksyen minuman sejuk dilabel, di mana satu mempunyai gred B, 40 dengan gred C, manakala yang lain adalah gred D.

Gred B bermakna minuman mempunyai antara 1 gram (g) dengan 5g gula setiap 100 mililiter (ml), atau 0.7g hingga 1.2g lemak tepu setiap 100ml.

Minuman dalam kelompok C mempunyai antara 5g dengan 10g gula setiap 100ml, atau 1.2g hingga 2.8g lemak tepu setiap 100ml.

Rantaian pasar raya termasuk Sheng Siong, FairPrice dan DFI Retail Group, yang menguruskan Giant dan Cold Storage, berkata beberapa produk bersama label tersebut sudah pun ada di kedai.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata pihak berkuasa akan menjalankan pemeriksaan untuk memastikan peraturan pelabelan baru dipatuhi, dan syarikat bertanggungjawab untuk memberi tanda Gred-Nutrisi bagi produk mereka.

Beberapa pengilang minuman memberitahu ST mereka telah melaksanakan peraturan pelabelan baru lebih awal, supaya mereka akan mempunyai masa yang cukup bagi menguruskan pengeluaran produk dan melabelnya.

Mereka juga berkata mereka telah memperuntukkan pelaburan besar dari segi usaha dan wang bagi melabel minuman tersebut.

Di samping itu, mereka turut merumus semula minuman mereka supaya dapat dimasukkan dalam kategori lebih sihat.

Antaranya ialah Gourmet Supplies, pengilang setempat bagi minuman teh botol Haus Brew.

Pengilang itu telah membelanjakan sekitar $50,000 dan enam bulan bagi usaha penyelidikan serta pembangunan dan ujian makmal.

Ia telah melabel semula produknya untuk memastikan ia selaras dengan peraturan baru.

Daripada 16 produknya, enam kini mempunyai gred B manakala yang lain adalah gred C.

"Kami telah melihat maklum balas positif daripada pelanggan kami, dengan peningkatan hampir 20 peratus dalam penjualan dengan label botol baru yang disegarkan dengan mengandungi tanda Gred-Nutrisi, yang kami percaya adalah hasil daripada pelanggan yang dapat membuat pilihan dengan lebih berpengetahuan," kata pengarah urusannya, Encik Tan Kok Ting.

MOH berkata warga Singapura mengambil secara purata 60g, atau 12 sudu teh gula dalam sehari.

Lebih separuh daripadanya datang daripada minuman, lebih-lebih lagi minuman yang sudah dibungkus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg