
SERAMAI 133 asatizah selesai menjalani program possiswazah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang diwajibkan bagi mendapatkan pentauliahan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), sejak kumpulan pertama menyertai program tersebut pada 2020.
Ini membawa kepada sejumlah 5,004 asatizah kini di bawah ARS - 2,704 asatizah Tahap 1 dan 2,300 asatizah Tahap 2, kata Muis sebagai menjawab pertanyaan Berita Minggu.
Tahap 1 merujuk kepada guru pengajian agama Islam manakala Tahap 2 merujuk kepada guru Al-Quran.
Diumumkan semasa bahas belanjawan 2019, Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bertujuan membekalkan lulusan agama dengan pengetahuan dan kemahiran relevan untuk berkhidmat dalam sektor keagamaan.
Selain itu, program tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman mereka mengenai cara mengamalkan Islam dalam konteks Singapura.
Seramai 56 asatizah tamat menjalani program selama setahun itu pada 2021, manakala seramai 77 menjalaninya pada 2022, kata Muis. Lulusan PCICS diiktiraf sebagai asatizah Tahap 1 di bawah ARS.
"Berdasarkan satu tinjauan lulusan kohort 2022 baru-baru ini, dalam kalangan 51 responden, 94 peratus daripada mereka kini telah meraih pekerjaan, rata-ratanya secara sepenuh masa," kata Muis.
Di bawah PCICS, peserta menerima latihan pekerjaan, pendedahan dan pembelajaran berasas pengamalan untuk meningkatkan daya kerja mereka.
Ini berdasarkan saranan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) yang ditubuhkan pada 2019 untuk mengkaji kemahiran yang diperlukan asatizah masa depan.
Contohnya, bagi latihan amali, pelajar menyertai program kerja sementara, projek berdasarkan pekerjaan atau program bekerja sambil belajar selama setahun. Ini melibatkan kerja berkaitan perkhidmatan sosial, pendidikan, atau di masjid, madrasah dan badan lain.
Kebanyakan peserta itu menjalani latihan amali dalam sektor keagamaan, kata Muis.
Selain Muis, masjid dan madrasah sepenuh masa, terdapat syarikat dan badan lain yang menawarkan latihan amali kepada peserta PCICS, termasuk Hab dan Pejabat Pengurusan Pendidikan Islam (Ilham), Ascent Islamic, Brainybunch International Montessori, Prepper Asia, ISGN Pte Ltd, dan YouM Pte Ltd.
Peserta yang mencari kerja akan menerima gaji bagi Program Pengalaman Kerja dan program sambil belajar, manakala peserta yang sudah bekerja pula boleh menggunakan pekerjaan mereka untuk memenuhi keperluan latihan amali di bawah kurikulum program.
Baru-baru ini, lulusan PCICS 2022 menerima sijil mereka dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Salah seorangnya, Ustaz Afzhalur Abdul Jaleel, 29 tahun, lulus sebagai antara pelajar cemerlang PCICS.
"Kerja kursus di bawah PCICS bersifat meluas dan saya mendapatinya menarik dan penting, khususnya kerana ia sesuai dengan rancangan kerjaya profesional saya," kata Ustaz Afzhalur.
Beliau bermastautin selama 12 tahun di Kuwait sebelum pulang ke Singapura pada 2022 dan ditawarkan pekerjaan sebagai guru Bahasa Arab di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.
Berucap kepada lulusan dalam majlis penyampaian sijil pada 26 Februari lalu, Encik Masagos berkata asatizah memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Islam menjalani kehidupan beragama berdasarkan tradisi ilmu agama dan konteks semasa.
"Saya juga berharap anda dapat memikirkan secara kreatif akan huraian terbaik bagi pelbagai cabaran dalam kehidupan kontemporari yang dihadapi masyarakat, bersama dengan asatizah mapan dan pucuk kepimpinan agama kita. Sumbanglah ilmu dan kemahiran anda dengan tekun, konfiden dan penuh hikmah," kata Encik Masagos.
Laporan lanjut:
"Berdasarkan satu tinjauan lulusan kohort 2022 baru-baru ini, dalam kalangan 51 responden, 94 peratus daripada mereka kini telah meraih pekerjaan, rata-ratanya secara sepenuh masa." - Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg