Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laksana korban di luar negara bantu naik taraf madrasah setempat

May 19, 2024 | 5:30 AM
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah terus melahirkan lulusan Muslimah berjaya dan berbakti kepada masyarakat.
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah terus melahirkan lulusan Muslimah berjaya dan berbakti kepada masyarakat. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Bersama membantu masyarakat Islam yang memerlukan selain menyokong dana pembangunan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah. Begitulah misi murni madrasah yang terletak di Lorong 39 Geylang ini. Sempena kedatangan bulan mulia Zulhijah dan Aidiladha ini, madrasah ini bakal melaksanakan program ibadah korban di Pesantren Baabussalaam, Kopo, Bandung, Indonesia.

Pelaksanaan dan kerjasama bagi acara ibadah ini telah pun berjalan selama 15 tahun dan telah membantu ramai penduduk fakir dan miskin yang memerlukan di luar negara, khususnya di Indonesia.

Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Cik Siti Radhiyah Rahmat, pihaknya berharap dan menganggarkan akan menerima 200 tempahan ibadah korban pada tahun ini. Dan setiap tempahan bagi seekor kambing pula boleh menghasilkan sehingga 20 pek bungkusan daging.

Ini bermakna, sehingga 4,000 fakir miskin dapat menikmati sajian daging kambing dan menyambut Hari Raya Haji dengan lebih bermakna bersama keluarga mereka.

Setiap ekor kambing yang disediakan juga dipastikan sihat, bebas daripada penyakit, cukup umur dan seberat antara 21 kilogram dengan 24 kilogram. Setiap tempahan bagi ibadah korban berharga $260, dan bagi akikah pula $280 dan akan menerima e-sijil melalui platform WhatsApp.

Cik Radhiyah turut menyatakan, hasil daripada program korban ini juga bertujuan membantu menambah dana bagi kerja peningkatan berterusan untuk madrasah.

“Tahun ini, merupakan kerjasama kami yang ke-15 tahun antara Madrasah Al-Ma’arif dengan pembekal yang kami percayai di Bandung, Indonesia.

“Alhamdulillah, ukhuwah yang telah terjalin dari tahun pertama hingga tahun 15 ini masih lagi kekal dan utuh. Hubungan baik ini tidak akan kekal jika tiada persefahaman yang baik antara kededua pihak.

“Kami juga amat prihatin tentang kambing-kambing yang disediakan. Sebagai contoh, haiwan-haiwan yang dibekalkan sihat, cukup umur dan tidak berpenyakit. Kambing-kambing di kandangnya itu akan dibawa ke Pesantren Baabussalaam pada sehari sebelum atau paginya sebelum upacara penyembelihan,” jelas Cik Siti Radhiyah.

Cik Radhiyah turut memberitahu kepada Berita Harian (BH), sebahagian daripada tempahan ibadah korban ini akan disalurkan juga kepada dana operasi madrasah.

“Kami memerlukan dana bagi operasi harian madrasah, untuk membayar bil, memperbaiki kerosakan dan sebagainya. Kesemua ini menelan belanja hampir $2 juta setiap tahun.

“Bangunan kami yang terletak di nombor 3 Lorong 39 Geylang ini sudah berdiri lebih 16 tahun, dan sering berlaku kerosakan yang perlu dibaiki dan barang-barang yang perlu ditukar ganti.

“Kami berharap dengan sokongan masyarakat Islam yang tidak jemu membantu, dapat menghulurkan sumbangan ikhlas mereka dengan menyertai ibadah korban bersama kami. Ibadah korban sangatlah digalakkan bagi yang berkemampuan, sekali gus dapat membantu Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah mencapai matlamat yang diinginkan,” tambah Cik Radhiyah.

MENDAFTAR BAGI IBADAH KORBAN

Cara untuk mendaftar bagi ibadah korban bersama Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah:

1. Langsung ke pejabat madrasah, dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 4.30 petang. Atau pada 9 pagi hingga 3 petang (waktu cuti sekolah). Pembayaran secara tunai dan Nets diterima.

2. Pembayaran melalui PayNow ke UEN: S36MM0001G (Rujukan: korban). WhatsApp dan berikan tangkap layar pembayaran. Sertakan nama penuh, dan alamat anda.

3. Lungsuri laman infaqmadrasahalmaarif.edu.sg

4. Untuk pertanyaan, sila hubungi talian 9182-4766 dari Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 4 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg