BUAT julung-julung kalinya, True Hearts.sg menyediakan projek amal '3 Dalam 1' pada tahun ini.

Projek '3 Dalam 1' bermaksud, para penderma boleh melaksanakan ibadah korban, dengan daging korban tersebut akan diagihkan kepada keluarga fakir miskin dan anak-anak yatim di Indonesia dan India.

Selain itu, sebahagian dari wang yang diagihkan, akan disalurkan kepada projek 'Share Your Food' dan 'Write Bright Future' kendalian True Hearts.sg.

Antara inisiatif 'Share Your Food' dan 'Write Bright Future' ini, pihak True Hearts.sg menyasarkan untuk membantu pelajar-pelajar susah dan anak-anak yatim di Singapura. Ia juga menyediakan persiapan persekolahan tahun depan mereka pada Disember nanti.

Seramai 250 keluarga akan dapat memanfaatkan projek yang dikelolakan ini.

Pelaksanaan ibadah korban anjuran True Hearts.sg bakal diadakan di Indonesia, India dan Australia.

Memberitahu Berita Harian (BH), Presiden True Hearts.sg, Dr Mohamad Yusof Sa'ad, yakin acara tahunan ini mampu menarik minat ramai penderma yang budiman, khususnya masyarakat Melayu/Islam di sini.

"Ibadah korban yang dilaksanakan dapat membuang sikap bakhil manusia. Ia juga dapat melatih diri kita supaya sanggup berkorban dan berkongsi nikmat rezeki kurniaan Allah swt demi kepentingan orang lain.

"Amalan yang mulia ini sebenarnya merupakan tanda bersyukur atas segala nikmat rezeki yang telah diberikan Allah swt kepada kita.

"Hanya mereka yang benar-benar bersedia dan menghayati maksud pengorbanan yang sebenar akan dengan rela hati, mampu untuk membelanjakan harta mereka untuk tujuan ibadah kerana mereka yakin ganjaran baik dari amalan tersebut," jelas Dr Mohamad Yusof.

Beliau turut menjelaskan daging korban dari Australia akan dibawa pulang ke Singapura dan akan dihantar ke rumah peserta secara percuma pada 17 Julai nanti.

Pembayaran bagi kambing di Australia $350, di Indonesia $220, manakala di India pula berharga $700 bagi seekor lembu atau $100 untuk sebahagiannya.

Sehubungan dengan itu, True Hearts.sg juga menyediakan khidmat pelaksanaan ibadah Badal Haji dan Badal Umrah untuk ahli keluarga tercinta, yang telah berpulang ke Rahmatullah. Badal Haji berharga $1,200, dan $350 bagi perkhidmatan Badal Umrah.

Dr Mohamad Yusof menambah: "Sokongan dari masyarakat Singapura amatlah dialu-alukan kerana setiap derma anda adalah saham akhirat anda,".

CARA PENYERTAAN

Bagi anda yang berminat, tarikh tutup pendaftaran adalah pada 9 Julai nanti.

Berikan pembayaran anda dengan cara berikut:

  1. Perbankan Internet: Maybank Singapura: 04041087574. Tuliskan cek anda kepada: True Hearts.sg.
  2. PayNow: UEN no: T20SS0168C. True Hearts.sg juga menyediakan khidmat pengambilan derma dari rumah. True Hearts.sg terletak di 12 Woodlands Square #02-66, Singapura 737715.

Layari www.trueheartssg.org untuk derma/sumbangan dalam talian, atau hubungi talian mereka di 8882-5322 untuk maklumat lanjut.