
SEORANG instruktor kompang yang melakukan serangan seksual terhadap tiga budak lelaki anggota kumpulannya telah dikenakan hukuman penjara 22 tahun dan rotan 24 kali pada Jumaat (12 Jun).
Mahkamah diberitahu bahawa Mohamad Shahril Abdul Rashid, 31 tahun, telah mengongsi kepada budak-budak berusia antara sembilan dengan 13 tahun itu tentang kisahnya berkaitan kekasaran seksual yang pernah dia lalui.
Ini dilakukan dengan tujuan untuk menimbulkan rasa kasihan dalam diri mangsa terhadapnya.
Menurut The Straits Times, setelah tertuduh berjaya menyakini mangsa, Shahril kemudian bertanya kepada budak-budak tersebut sama ada mereka ingin melihat bagaimana dia diserang secara seksual oleh abang angkatnya, atau jurulatih sepak takrawnya, ketika dia berusia 12 tahun dahulu.
Shahril mendakwa dia berbuat demikian untuk melindungi mangsa daripada perbuatan buruk itu di masa depan.
Meskipun mangsa menolak tawarannya itu, tertuduh terus mempamerkan perbuatan tidak senonoh itu ke atas mereka.
Shahril mengaku bersalah pada Jumaat atas tiga tuduhan serangan seksual teruk dengan penetrasi.
Lapan lagi tuduhan bagi pelbagai kesalahan seksual diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.
ST melaporkan Shahril mengasaskan kumpulan kompang itu pada 2005.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg