Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan berbasikal baru akan dibina di timur, timur laut S’pura jelang 2030

Aug 12, 2024 | 6:48 PM
Kerja-kerja membina laluan berbasikal baru akan bermula pada awal 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2030.
Kerja-kerja membina laluan berbasikal baru akan bermula pada awal 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2030. - Foto ST

Penduduk di kawasan timur dan timur laut Singapura, termasuk Hougang, Sengkang dan Serangoon, bakal menikmati prasarana berbasikal lebih baik menjelang 2030, dengan lebih banyak laluan berbasikal terus dibina di seluruh negara.

Pada 22 Julai, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mempelawa tender bagi pembinaan laluan berbasikal baru sepanjang sekitar 87 kilometer di tujuh bandar – Geylang, Hougang, Kaki Bukit, Marine Parade, Potong Pasir, Sengkang dan Serangoon, serta di kawasan perusahaan di Sin Ming, Bedok, Pasir Ris dan Tampines.

Kerja-kerja membina laluan berbasikal baru itu akan bermula pada awal 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2030.

Tender terbaru LTA itu adalah tambahan kepada kontrak bernilai $188.3 juta yang diberikan pada Ogos 2023 untuk membina laluan berbasikal sekitar 55 kilometer di tujuh bandar sama menjelang 2025, lapor The Straits Times (ST).

Secara keseluruhan, kededua tender bagi kawasan timur dan timur laut Singapura itu akan menambah sekitar 142 kilometer kepada rangkaian laluan berbasikal di sini.

Rangkaian laluan berbasikal Singapura dijangka diluaskan sehingga sekitar 1,300 kilometer menjelang 2030.

Sepanjang dua tahun lalu, LTA juga memberi dua kontrak lain untuk membina laluan berbasikal baru sepanjang 20 kilometer di kawasan bandar dan pinggir bandar seperti Bukit Merah dan Telok Blangah, di samping laluan berbasikal baru 34.4 kilometer di kawasan barat dan tengah Singapura seperti Jurong West, Bukit Batok dan Clementi.

Menjawab pertanyaan media, LTA berkata ia akan meluaskan rangkaian laluan berbasikal secara berperingkat, meliputi semua bandar di sini, dan sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menyediakan ruang yang diperlukan.

Menurutnya, kontrak yang diberikan setakat ini menyediakan laluan berbasikal peringkat awal yang dihubungkan dengan pelbagai pusat tukaran dan kemudahan utama di setiap bandar.

Sehingga kini, laluan berbasikal dan laluan penghubung taman sepanjang lebih 600 kilometer telah dibina di Singapura.

Lebih banyak tender akan ditawarkan untuk membina laluan berbasikal baru secara berperingkat, tambah LTA.

Menjelang 2030, LTA menjangka lapan dalam 10 penduduk perumahan awam hanya berada dalam jarak beberapa minit sahaja dengan rangkaian laluan berbasikal terdekat mereka.

Dalam tender terbaru LTA, laluan berbasikal baru sepanjang 20 kilometer akan dibina di Hougang mulai 2026, 15 kilometer di Sengkang dan Serangoon, 12 kilometer di Geylang, 6 kilometer di Marine Parade, 5 kilometer di Potong Pasir dan 4 kilometer di Kaki Bukit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg