PELAJAR Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berpeluang mempercepatkan laluan pendidikan lanjutan mereka daripada empat tahun kepada tiga tahun.
Mulai tahun depan, 16 kursus ITE akan beralih pada struktur kurikulum yang membolehkan pelajar langsung mengambil kursus Sijil Nitec Lanjutan dalam tempoh tiga tahun.
Sekitar 2,000 pelajar dijangka mengambil 16 kursus ini pada 2020.
Struktur kurikulum baru ini akan menggantikan sistem dua tahun yang ada kini di peringkat Nitec disusuli dengan dua tahun lagi bagi Nitec Lanjutan.
Langkah baru ini diumumkan Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman, pada Jumaat (30 April) di pelancaran pusat latihan baru di ITE Kolej Timur yang dikenali sebagai ITE-Pusat Sembcorp bagi Solusi Mapan.
Pelaksanaan 16 kursus ini dalam format baru membentuk sebahagian fasa pertama peralihan yang akan melihat semua kursus beralih pada program tiga tahun Nitec Lanjutan menjelang 2026.
Program yang terpilih bagi permulaan terdiri daripada lapan kursus Nitec dan lapan kursus Nitec Lanjutan
Jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) berkata, mereka meliputi tiga kelompok dan mempunyai ketetapan kemasukan yang luas bagi memenuhi keperluan rencam pelajar yang memasuki ITE.
MOE menambah 80 peratus daripada kursus ITE dijangka beralih pada struktur Nitec Lanjutan tiga tahun yang baru ini menjelang 2024 dengan kesemua kursus dijangka dilibatkan menjelang 2026.
"Langkah ini sejajar dengan komitmen MOE menyediakan peluang bagi semua lulusan ITE mempertingkatkan diri mereka melepasi Nitec sepanjang kerjaya mereka menjelang 2030, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rapat Hari Kebangsaan 2019," jelas Dr Maliki yang memimpin usaha menyemak pendidikan politeknik dan ITE sejak penghujung tahun lalu.
Menurutnya lagi, struktur kurikulum baru ini akan diperhalusi bagi mengetepikan bidang pengajaran bertindih dalam kursus Nitec dan Nitec Lanjutan yang ada kini.
ITE buat masa ini menawarkan kursus Nitec dan Nitec Lanjutan secara berasingan. Mereka yang tamat peringkat Nitec harus memohon bagi kursus Nitec Lanjutan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg