Laluan pejalan kaki pertama yang memanfaatkan tenaga suria di Singapura akan dipasang di Fort Siloso Skywalk di Sentosa pada suku pertama 2024.
Laluan yang mengguna panel suria itu adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk mencapai neutraliti karbon, dan pada masa sama meneroka cara baru untuk memanfaatkan kuasa suria, lapor The Straits Times (ST).
Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) telah memasang panel suria secara agresif. Ia mencapai kapasiti suria paras tertinggi sebanyak 5.2 megawatt pada 2023 – peningkatan sekitar 68 peratus daripada sasaran awal kapasiti suria tertinggi sebanyak 3 megawatt.
Singapura juga mempunyai rancangan lain untuk membantu mencapai neutraliti karbon menjelang 2030.
Bercakap kepada wartawan di Palawan Kidz City di Pulau Sentosa pada Selasa, Pengarah Perancangan Divisyen SDC, Encik Lee Cheh Hsien, berkata usaha meningkatkan penggunaan tenaga suria adalah antara pelbagai cara yang diambil Sentosa untuk menyahkarbon secara aktif.
Usaha lain termasuk meningkatkan kecekapan tenaga di dalam semua bangunan dan pengurusan sisa di pulau itu.
Selain itu, SDC secara aktif bekerjasama dengan rakan kongsi di pulau itu untuk kerja memasang panel suria.
Rakan kongsi itu ialah Mount Faber Leisure Group, Resorts World Sentosa, Capella Singapore, One15 Marina Sentosa Cove, dan Big Tiny, yang mengendali Tiny Away Escape @ Pulau Lazarus.
Di bawah perniagaan itu, panel suria telah dipasang di 46 lokasi di Sentosa.
Apabila ditanya sejauh mana tenaga suria akan menjadi sebahagian daripada penggunaan tenaga menjelang 2030, Encik Lee berkata SDC akan memberikan perkembangannya dengan angka yang dikemas kini secara bertahap.
Dengan kapasiti suria paras tertinggi melebihi 5.2 megawatt yang sudah pun dipasang, tenaga bersih berjumlah hampir 6.6 gigawatt setiap jam (GWh) boleh dihasilkan setiap tahun.
Ini berpotensi mengurangkan lebih 2,600 tan karbon dioksida setahun, jumlah yang sama dengan pelepasan karbon yang dijana oleh 97,700 penginapan malam di bilik hotel, kata SDC seperti dilapor ST.
Kapasiti suria mengukur jumlah tenaga suria yang boleh dihasilkan dalam keadaan optimum, manakala jumlah hasil tenaga bergantung kepada faktor seperti jumlah cahaya suria, orientasi panel dan kewujudan teduhan.
SDC kini menggalak lebih banyak perniagaan untuk menyertai usaha memanfaatkan tenaga suria, termasuk hotel Amara Sanctuary Resort dan FOC Sentosa, sebuah restoran dan kelab pantai.
Panel suria di Fort Siloso Skywalk yang merupakan projek percubaan, dijangka membantu SDC menilai daya maju menggunakan laluan pejalan kaki untuk menjana tenaga suria.
Panel suria itu dibangunkan oleh pembekal tenaga hijau tempatan Raitan, yang merupakan pemenang Cabaran Inovasi Terbuka Kemampanan 2022 – satu pertandingan anjuran Enterprise Singapore untuk merangka penyelesaian kemampanan bagi menangani pelbagai masalah yang merangkumi beberapa sektor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg