Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Laluan perjalanan diasing' bagi kekalkan SG sebagai hab bisnes

Sebahagian usaha lebih luas untuk pertingkat keupayaan S'pura uji pelawat yang punyai profil risiko jangkitan berbeza-beza: Chun Sing
Dec 16, 2020 | 5:30 AM
BILIK MESYUARAT KHAS: Peserta mesyuarat di bilik khas seperti ini akan dipisahkan dengan panel dari lantai ke dinding, dengan ruang yang dipisahkan masing-masing mempunyai aliran udara berasingan. Sekitar 340 bilik mesyuarat yang boleh menampung antara empat dengan 22 orang akan disediakan di Connect@Changi. - Foto-Foto CONNECT@CHANGI
BILIK MESYUARAT KHAS: Peserta mesyuarat di bilik khas seperti ini akan dipisahkan dengan panel dari lantai ke dinding, dengan ruang yang dipisahkan masing-masing mempunyai aliran udara berasingan. Sekitar 340 bilik mesyuarat yang boleh menampung antara empat dengan 22 orang akan disediakan di Connect@Changi. - Foto-Foto CONNECT@CHANGI -

INISIATIF laluan perjalanan diasingkan (STL) dan pusat khas bagi pelawat perniagaan menginap dan bekerja di sini tanpa dikuarantin adalah sebahagian usaha lebih luas untuk mempertingkat keupayaan Singapura menguji pelawat yang mempunyai profil risiko jangkitan berbeza-beza, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

"Buat masa ini, berbekal keupayaan kita yang dipertingkat dalam teknologi ujian dan jejak kontak, kita lebih berupaya menyesuaikan ujian dan jejak kontak berdasarkan kumpulan pelawat berbeza berdasarkan profil risiko jangkitan mereka yang berbeza-beza," kata Encik Chan.

"Inilah sebabnya kita memulakan inisiatif ini untuk membolehkan dunia menjalin semula hubungan di Singapura, kerana negara-negara yang berbeza mempunyai profil risiko jangkitan yang berbeza-beza dan kita tidak seharusnya membenarkan (perbezaan) ini mengadang fungsi biasa sebuah pertemuan perniagaan."

Sebagai contoh, menurut Encik Chan, pusat penginapan dan pertemuan khas Connect@Changi yang sedang dibina di SingaporeExpo akan menerapkan beberapa ciri baru untuk memastikan keselamatan kakitangan dan penduduk setempat yang ke sana, selain keselamatan pelawat asing.

"Ia boleh menjadi tempat di mana warga Singapura boleh bertemu rakan niaga dari luar negara. Ia juga boleh menjadi tempat bagi pelawat perniagaan dari tempat lain bertemu satu sama lain," kata Encik Chan.

Beliau berkata demikian di sidang media yang diadakan selepas melawat Connect@ Changi semalam.

Dalam kenyataannya, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata Connect@Changi berperanan sebagai makmal ujian bagi inisiatif berhubung Covid-19, termasuk ujian sisa air untuk mengesan koronavirus itu di peringkat lebih awal, ujian pantas terkini dan aturan jejak kontak secara automatik.

Menambah, ia berkata pusat kemudahan serupa yang lain akan dilantik dalam beberapa minggu akan datang.

Apabila siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, Connect@Changi, yang sedang dibina di Singapore Expo, bakal menawarkan lebih 1,300 bilik penginapan dan sekitar 340 bilik mesyuarat yang boleh digunakan bagi pelawat perniagaan yang datang ke Singapura menerusi STL.

Bilik mesyuarat yang disediakan boleh memuatkan antara empat dengan 22 orang.

Connect@Changi dibina oleh konsortium setempat yang diketuai Temasek dan dianggotai The Ascott Limited, Changi Airport Group, Sheares Healthcare Group, SingEx dan Surbana Jurong.

Menurut jurucakap konsortium itu, seorang pelawat boleh menjangka membayar antara $400 dengan $480 semalam bagi penginapan antara tiga dengan lima hari di pusat itu.

Ini termasuk kos ujian Covid-19, tiga khidmat makanan harian dan pengangkutan ulang-alik ke Lapangan Terbang Changi.

Dalam kenyataannya, Connect@Changi berkata sebelum pandemik, hampir 90 peratus pelawat yang ke Singapura bagi tujuan perniagaan tidak berada di sini melebihi lima hari.

Sejumlah besar pengunjung itu pula difahami tidak dapat ke Singapura untuk bertemu rakan niaga setempat di tengah-tengah pandemik ini kerana negara-negara mereka tidak termasuk di bawah peruntukan laluan timbal balik hijau (RGL)

Dalam pada itu, Encik Wong Heang Fine, ketua pegawai eksekutif Surbana Jurong, yang membina Connect@Changi, berkata pusat itu boleh diubah penggunaannya dalam masa beberapa minggu selepas tempoh pandemik kerana ia dibina menggunakan bahagian pasang siap.

Connect@Changi juga dijangka mencipta 800 pekerjaan di Singapura dalam sektor binaan dan penyenggaraan dan bagi khidmat yang ditawarkan.

"Buat masa ini, berbekal keupayaan kita yang dipertingkat dalam teknologi ujian dan jejak kontak, kita lebih berupaya menyesuaikan ujian dan jejak kontak berdasarkan kumpulan pelawat berbeza berdasarkan profil risiko jangkitan mereka yang berbeza-beza. Inilah sebabnya kita memulakan inisiatif ini untuk membolehkan dunia menjalin semula hubungan di Singapura, kerana negara-negara yang berbeza mempunyai profil risiko jangkitan yang berbeza-beza dan kita tidak seharusnya membenarkan (perbezaan) ini mengadang fungsi biasa sebuah pertemuan perniagaan. - Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg