SEORANG wanita yang mengantar anaknya ke prasekolahnya semasa wabak Covid-19 walaupun dia sepatutnya berada di rumah, semalam telah dijatuhi hukuman penjara lima minggu.
Michelle Foo Shi Ching, kini 25 tahun, turut menaiki kereta sewa persendirian ke MacPherson sebelum menuju ke pusat beli-belah Great World City di Kim Seng Promenade, tempat dia bertemu empat rakan untuk menonton filem pada 17 Julai 2020.
Wanita Malaysia itu, yang merupakan penduduk tetap Singapura, telah mengaku bersalah pada 31 Januari tahun ini atas dua tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.
Semasa perbicaraan sebelum ini, peguam bela, Encik Mohamed Arshad, memberitahu mahkamah bahawa menurut pakar psikiatri, Foo berkemungkinan mengalami gangguan penyesuaian pada masa kesalahan itu.
Hakim Daerah Marvin Bay kemudian meminta laporan untuk menilai kesesuaiannya untuk perintah rawatan mandatori (MTO).
Pesalah yang diberi MTO akan menjalani rawatan untuk keadaan mental mereka sebagai ganti hukuman penjara.
Selepas menerima laporan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH), hakim menjatuhkan hukuman penjara kepada Foo semalam, sambil menambah: "Saya perhatikan bahawa... keadaan gangguan penyesuaian (dia) dengan mood tertekan mungkin tidak memenuhi kriteria yang layak (MTO)."
Hakim Bay, bagaimanapun, menyatakan bahawa Foo adalah "pesalah yang agak muda" yang mempunyai "hubungan yang sangat renggang" dengan suaminya.
Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lee memberitahu mahkamah pada Januari bahawa Foo telah pergi ke klinik pada 14 Julai 2020, selepas dia mengadu sakit tekak dan batuk.
Seorang doktor kemudian mendiagnosisnya menghidap jangkitan saluran pernafasan atas dan mengeluarkan sijil perubatan (MC), menegaskan bahawa dia dikehendaki oleh undang-undang untuk berada di rumah selama lima hari.
Doktor juga memberitahu Foo bahawa dia tidak sepatutnya meninggalkan rumahnya untuk sebarang tujuan kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan segera. Foo menerima MC dan memahami syarat-syaratnya.
Namun, dia meninggalkan flatnya di Bedok North sekitar 9.15 pagi pada 17 Julai 2020, dan membawa anaknya ke prasekolah Yayasan Komuniti PAP Sparkletots yang berdekatan.
Bagi melakukan kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga setahun dan denda sehingga $20,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg